Foto sekadar hiasan
Lebih 180 kanak-kanak Palestin dilaporkan terbunuh dalam serangan Israel di Gaza dalam tempoh sehari, ketika serangan hebat berterusan dilancarkan ke atas wilayah itu, menurut Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi.
"Lebih 180 kanak-kanak telah dilaporkan maut dalam tempoh 24 jam di Gaza," menurut kenyataan UNRWA.
Namun, agensi PBB itu tidak menyebut secara terperinci masa kejadian tersebut berlaku.
"Jika gencatan senjata tidak dipulihkan, lebih banyak nyawa akan terkorban," amaran UNRWA.
Tentera Israel melancarkan serangan udara mengejut di Semenanjung Gaza pada 18 Mac, mengorbankan 855 orang, mencederakan hampir 1,900 yang lain, dan melanggar perjanjian gencatan senjata serta pertukaran tahanan yang berkuat kuasa sejak Januari.
UNRWA menganggarkan kira-kira 124,000 penduduk Palestin telah kehilangan tempat tinggal sejak Israel menyambung semula serangannya ke atas Gaza.
"Keluarga-keluarga di Gaza sekali lagi terpaksa melarikan diri mencari perlindungan.
“Sementara itu, kepungan yang berterusan semakin merumitkan krisis kemanusiaan. Orang awam harus dihormati dan dilindungi, pada setiap masa, di mana-mana sahaja," menurut UNRWA.
Juliette Touma, Pengarah Komunikasi UNRWA, berkata tiada bekalan makanan dibenarkan masuk ke Gaza sejak awal Mac akibat sekatan yang dikenakan oleh Israel.
"Sejak 2 Mac, tiada makanan, air, ubat-ubatan, dan bekalan komersial dibenarkan masuk ke Gaza akibat larangan yang dikenakan oleh Israel," katanya. "Ini adalah tempoh paling lama sejak serangan bermula."
"Setiap hari tanpa bekalan bermakna kanak-kanak tidur dalam keadaan kelaparan," amaran Touma.
Lebih 50,200 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh, manakala lebih 113,900 cedera dalam serangan ketenteraan Israel di Gaza sejak Oktober 2023.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant pada November lalu, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berhadapan dengan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berkaitan serangan terhadap wilayah itu.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.