66 masjid dan surau di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mengagihkan sebanyak 38,850 pek daging korban bermula semalam hingga Jumaat ini.
Program Musaadah Perdana Ibadah Korban Wilayah Persekutuan 1442H/2021M akan mengagihkan agihan daging korban daripada 555 ekor lembu.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, program ini dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan ditetapkan untuk mengekang penularan COVID-19.
Tambahnya,lapan rumah sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan atau ladang ternakan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar di sekitar Lembah Klang sahaja boleh melaksanakan proses penyembelihan termasuk aktiviti lapah, memotong dan membungkus daging.
“Daging korban yang siap dibungkus akan diedarkan kepada penerima berdasarkan jadual penghantaran mengikut zon bermula hari raya pertama sehingga hari raya keempat,” katanya.
Program berkenaan dilaksanakan buat julun kali sempena Aidiladha dengan kerjasama masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dan bakal dimanfaatkan golongan memerlukan.
Sebanyak 15,540 pek akan diedarkan kepada fakir miskin, manakala selebihnya akan diagihkan kepada peserta korban, petugas barisan hadapan dan golongan yang memerlukan.
“Saya mengharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban dan menggembirakan golongan yang memerlukan terutamanya dalam tempoh pandemik COVID-19,” katanya.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.