Kisah lapan beradik menjadi yatim piatu apabila kedua-dua ibu bapa mereka meninggal dunia selepas dijangkiti wabak Covid-19 dalam tempoh tiga hari mendapat perhatian ramai.
Nazurah Nabilah Benyajeed dan tujuh adiknya yang berumur lingkungan 18 hingga empat tahun kini tinggal di rumah saudara mereka di Bukit Beruntung, Rawang.
Menurut Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui, beliau memaklumkan Benyajeed Bernie ketua keluarga itu meninggal dunia pada 16 Julai manakala ibu mereka, Noraini Ibrahim pula pada 18 Julai.
Video tular di media sosial itu mendapat perhatian pihaknya untuk menjejaki lapan beradik anak yatim bagi menghulurkan bantuan dan sokongan.
“Kami terus menziarahi mereka yang kini menetap sementara di rumah saudara mereka di Jalan Mawar, Bukit Beruntung untuk menyampaikan sedikit sumbangan kepada Nazurah.
“Saya melawat mereka bersama ahli majlis Majlis Daerah Hulu Selangor, Doris dan Junaida daripada Pertubuhan Kebajikan Bonda Juwanda serta Haji Ramly dan tim Amanah,” katanya.
Tambahnya, enam dari lapan beradik anak yatim berkenaan masih bersekolah dan memerlukan sokongan bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran.
Pihaknya akan membantu kesemua yang masih belajar itu dengan sumbangan seperti kemudahan komputer riba kepada anak-anak yatim piatu itu untuk terus fokus dalam pelajaran.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.