Foto: Astro AWANI
“Walaupun kami seorang ibu, itu bukan alasan untuk berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa demi kebebasan Gaza.”
Itu antara kata semangat disuarakan Dr. Fauziah Mohd Hassan, salah seorang daripada sembilan aktivis Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) bersama Thousand Madleens to Gaza (TMTG) baru-baru ini.
Menurut Dr. Fauziah, pengalaman ditahan rejim Zionis tidak sedikit pun melemahkan semangat mereka untuk terus memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
“Kami sedar perjuangan ini panjang dan penuh cabaran. Algeria mengambil masa 100 tahun untuk mencapai kemerdekaan, sedangkan Freedom Flotilla baru 15 tahun berlayar.
“Tekanan dan usaha ini akan diteruskan sehingga Gaza benar-benar bebas, insya-Allah,” katanya sejurus tiba di tanah air petang tadi.
Sementara itu, wartawan Syafik Shukri Abdul Jalil yang turut serta dalam misi tersebut menegaskan perjuangan membantu Gaza bukan semata-mata isu agama, tetapi soal kemanusiaan sejagat.
“Saya menyeru rakyat Malaysia untuk bangkit bersama. Ini bukan isu agama sahaja, tetapi isu kemanusiaan. Kita perlu bersatu menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa rakyat Gaza berhak hidup merdeka,” katanya.
Kesemua sembilan aktivis Malaysia yang menyertai misi FFC x TMTG selamat tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 4 petang tadi.
Ketibaan mereka disambut isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, bersama beberapa menteri dan timbalan menteri yang hadir bagi memberi penghargaan terhadap keberanian delegasi tersebut.
Sembilan aktivis terbabit terdiri daripada Ketua Misi, Prof. Emeritus Dr. Mohd Alauddin Mohd Ali; Dr. Fauziah Mohd Hassan; Dr. Hafiz Sulaiman; Dr. Ili Syakira Mohd Suhaimi; Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh; Dr. Noorhasyimah Ismail; wartawan Syafik Shukri Abdul Jalil; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar; serta aktivis Dr. Maziah Muhammad.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.