Banyak perkara yang berubah semasa kita berada di dalam bulan Ramadan. Jika tidak banyak pun, tetap ada perubahan dalam diri kita. Ini kerana adanya kesedaran tentang kepentingan bagi menghormati bulan tersebut.
Jadi, bagi anda yang mahu kekal berada di dalam kebaikan selepas Ramadan, berikut 5 tips untuk anda;
#1 Berdoa
Sebelum kita melakukan apa-apa, perkara terpenting adalah berdoa agar apa yang anda ingin lakukan dipermudahkan oleh Allah SWT.
Jadi, berdoalah kepada Allah agar anda kekal istiqamah dalam meneruskan kebaikan selepas Ramadan.
#2 Bedah Ramadan
Imbas kembali usaha yang berjaya dan tidak semasa bulan Ramadan.
Mungkin anda tidak sempat menghabiskan 30 juzuk Al-Quran. Mungkin anda ada berniat untuk banyak bersedekah tetapi sesuatu telah menghalang anda.
Oleh itu, cuba buat jadual baru yang ada semua itu di dalamnya. Jika semasa Ramadan anda berjaya dengan semua, ini adalah satu lagi alasan terbaik untuk anda meneruskannya selepas Ramadan.
#3 Setiap Hari Adalah Ramadan
Layanan kita terhadap Ramadan amat baik kerana kita tahu adanya ganjaran di dalamnya yang berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan seterusnya.
Namun, perlulah kita ingat dan sedar bahawa amalan-amalan seperti membaca al-Quran, bersedekah, melakukan solat-solat sunat, menjaga percakapan, pendengaran dan penglihatan adalah tetap berpahala walaupun kita sudah meninggalkan Ramadan.
#4 Kekal Bersemangat
Mungkin ada kesukaran pada peringkat awal kerana ia belum menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian kita. Itulah cabarannya merutinkan sesuatu perkara yang baru.
Namun, ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana sudah ramai yang berjaya melakukannya. Anda boleh mulakan dengan berpuasa sunat 6 hari semasa bulan Syawal.
Teruskan mencari ilmu, memantapkan pengetahuan agama yang ada dalam diri, dan bermuhasabah diri. Cari rakan yang boleh sama-sama memotivasikan diri masing-masing dalam membuat kebaikan.
InsyaAllah, Allah akan membuka jalan walaupun dari hal yang tidak disangka-sangka.
#5 Memantau Diri
Selepas Ramadan, persekitaran anda juga akan berubah. Mereka yang berada di sekeliling anda, mulai tidak mencerminkan suasana berpuasa.
Rancangan di televisyen juga berubah. Jika anda tidak berhati-hati, anda sendiri pun boleh jadi kembali kepada leka dalam solat, tidak menjaga percakapan dan tidak membaca al-Quran.
Sumber: tzkrh.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.