Mungkin ada yang tertanya-tanya, pada zaman moden ini masih lagi ke ibu bapa mengaturkan perkahwinan anak-anak mereka. Bunyi macam jalan cerita drama klise, kahwin paksa ataupun mengaturkan jodoh anak. Namun, tidak mustahil perkara ini masih berlaku.
Bahkan, ada pasangan yang berkahwin dengan niat untuk bercerai kemudian. Ini disebabkan mereka hanya berkahwin demi kebahagiaan ibu bapa yang menyatukan mereka. Tapi kita kena ingat kembali bahawa perkahwinan ini adalah satu ikatan suci yang amat dijaga hal ehwalnya oleh syarak.
فَٱنكِحُوا۟ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ مَثْنَىٰ وَثُلَـٰثَ وَرُبَـٰعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ فَوَٰحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ
Maksudnya : “…Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki…” (Surah Al-Nisa' : 3)
Jika seseorang itu berkahwin dengan niat untuk bercerai, maka ia perlu dilihat kepada akadnya. Jika akadnya dinyatakan tempoh-tempoh tertentu maka ianya adalah akad yang batil dan merupakan gambaran daripada nikah mut’ah. Selagi mana rukun dan syarat dipenuhi, maka akad nikah dan perkahwinan tersebut adalah sah. Namun begitu, perbuatan tersebut adalah perbuatan yang haram. Ini kerana niatnya itu betul-betul menyalahi dan bercanggah dengan tujuan perkahwinan. Bahkan Allah SWT telah memperingatkan di dalam Al-Quran tujuan satu-satu perkahwinan itu dibina. Firman Allah SWT :
وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً
Maksudnya : “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah Al-Rum : 21)
Sumber: Mufti Wilayah
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.