Dalam apa pun hubungan sama ada dengan kawan atau dengan pasangan sendiri, pasti kita akan bergurau senda agar hubungan tidak hambar dan serius sepanjang masa. Bahkan dalam Islam sendiri ia menggalakkan umatnya untuk sentiasa ceria dengan sekeliling, kerana secara tidak langsung ia akan memandu emosi kita ke arah yang positif.
Jika dilihat pada sirah juga, Baginda SAW disifatkan sebagai seorang yang ceria. Baginda pernah mengusik sahabatnya dan juga para isterinya. Inilah yang menjadikan kehidupannya sebagai harmoni dan bahagia.
Adapun, dalam kita berjenaka dan membuat lawak kepada orang sekeliling kita, perlu dijaga adab yang digariskan. Antara yang paling penting ialah dengan mengelakkan jenaka yang mempunyai unsur penipuan.
Ada sebuah riwayat daripada Mu’awiyah bin Jaydah Al-Qushayri bahawa Nabi SAW bersabda:
وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ
Maksud: “Celakalah buat seseorang yang menceritakan suatu cerita dengan tujuan untuk membuatkan sesuatu kaum itu ketawa, maka dia berdusta. Celakalah buatnya, celakalah buatnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4990)
Ulama berpandangan bahawa haram hukumnya menipu walaupun dalam berjenaka. Perbuatan ini boleh dianggap sebagai perkara yang mungkar dan diibaratkan mengakui pembohongan itu.
Bergurau itu diibaratkan sebagai meletakkan garam di dalam makanan. Jika garam itu terlebih, nanti akan menjadi masin dan tidak elok untuk kesihatan. Jika berkurang pula, takut nanti tiada rasa.
Sumber: tzkrh.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.