Amalan tidur selepas waktu Subuh sehingga matahari terbit adalah tidak digalakkan. Kajian saintifik menunjukkan pada waktu pagi, badan menghasilkan hormon serotonin paling tinggi.
Menyedari manfaat ini, mari kita lihat tujuh panduan yang boleh diikuti untuk mengelak daripada tidur selepas Subuh.
#1- Tidur awal
Tidur yang mencukupi pada malam hari menjadikan badan lebih segar dan cergas. Waktu tidur yang dicadangkan adalah sekitar 6.5 jam. Dalam tempoh ini, badan berada dalam fasa penumbuhan dan pemulihan dan hati menjalani proses detoksifikasi sekitar jam 11 malam hingga 3 pagi.
Seperti tubuh yang berkehendak untuk bernafas, makan dan minum, tidur juga tidak terkecuali. Jangan pandang remeh pada nikmat yang Allah beri ini.
#2- Mandi
Mandi dapat menyegarkan tubuh. Air sejuk yang terkena permukaan kulit meningkatkan keupayaan arteri untuk mengepam darah ke seluruh tubuh. Akibatnya, jantung berdegup laju dan sistem peredaran darah adalah pada tahap yang paling optimum.
#3- Kemas katil
Dengan mengemas katil setiap pagi anda sebenarnya telah berjaya menyelesaikan tugasan pertama pada hari tersebut. Hasilnya, anda akan jadi lebih bersemangat untuk meneruskan tugasan harian yang lain. Jika berasa mengantuk, anda mungkin tidak sanggup untuk merosakkan katil yang sudah anda kemas dan susun rapi tadi.
#4- Zikir harian dan membaca al-quran
Lazimi doa-doa yang mathur yang diamalkan oleh Rasulullah SAW seperti al-Mathurat setiap pagi. Anda juga boleh membaca surah-surah pilihan daripada al-Quran. Pilih satu ayat yang membuat anda terkesan dan tulis semula ayat ini di dalam buku catatan berserta maknanya. Perhatikan sebab-sebab penurunan ayat dan kaitkan dengan kehidupan anda.
#5- Sarapan
Pastikan anda mengambil sarapan seawal satu jam selepas bangun dari tidur. Sarapan bukan saja membekalkan tenaga untuk tubuh malah amalan ini membantu sistem metabolisme tubuh berada pada tahap yang paling optimum. Anda akan jadi lebih cergas dan dapat mengawal diri daripada makan secara berlebihan.
#6- Senaman
Setiap pagi, peruntukkan 30 minit untuk melakukan pergerakan fizikal seperti berjalan kaki, menaiki tangga, berlari atau berbasikal. Aktiviti ini bukan sahaja mencegah diri anda daripada penyakit, malah anda akan kekal cergas dan bersemangat.
#7- Qailulah
Maksud qailulah ialah berehat atau tidur sebentar sebelum gelincir matahari atau sebelum masuknya waktu Zuhur. Bagi yang melazimi solat sunat tahajud, amalan qailulah merupakan amalan sunat sebagai persediaan untuk qiyamullail. Secara ringkasnya, dengan qailulah anda akan lebih cergas untuk meneruskan hari anda.
Sumber: tzkrh.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.