Sebanyak 5,619 Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) akan dibuka semula pada 2 dan 3 Ogos ini.
Bagi negeri Kumpulan A akan memulakan kelas KAFA pada Ahad (2 Ogos), manakala negeri bagi Kumpulan B akan memulakan kelas pada Isnin (3 Ogos).
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ketetapan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan semua pihak dan persediaan sepenuhnya premis KAFA serta pengurusan tadbir urus sekolah kebangsaan.
Negeri kumpulan A melibatkan negeri, Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dan negeri kumpulan B pula melibatkan negeri Kuala Lumpur, Labuan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Putrajaya, Sabah, Sarawak dan Selangor.
"Berdasarkan perbezaan tempoh masa pembukaan semula KAFA dengan pembukaan sekolah rendah, saya berharap pengurusan pembukaan semula KAFA dapat berjalan dengan baik," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
"Merujuk kepada perutusan Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin pada 1 Julai, sesi persekolahan bagi murid Tahun 5 hingga 6 akan bermula pada Rabu ini, manakala bagi murid Tahun 1 hingga 4 pada 22 Julai.
"Kementerian Pendidikan juga mengumumkan tiga pilihan model pengoperasian pembukaan penuh sekolah berdasarkan kapasiti sekolah.
"Sehubungan itu, penyelarasan perlu dibuat di antara agensi pelaksana negeri dengan jabatan pendidikan negeri bagi memastikan KAFA dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.
Zulkifli berkata, pentadbir premis KAFA mesti memastikan garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah dipatuhi.
"Saya berharap dengan persediaan yang rapi oleh semua pihak, pembukaan semula KAFA akan dapat berjalan dengan lancar dan anak-anak kita dapat bersekolah dalam keadaan yang selamat," katanya.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.