Solat malam merupakan solat yang afdhal untuk dilakukan selepas menunaikan solat fardhu. Hal ini disebut dalam sebuah hadis sahih daripada Imam Muslim:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW:
وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ، بَعْدَ الْفَرِيضَةِ، صَلَاةُ اللَّيْلِ
Maksudnya: “Dan solat yang afdhal selepas solat fardhu adalah solat malam.”
Riwayat Muslim (1163)
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
فَضْلُ صَلَاةِ اللَّيْلِ عَلَى صَلَاةِ النَّهَارِ كَفَضْلِ صَدَقَةِ السِّرِّ عَلَى الْعَلَانِيَةِ
Maksudnya: “Kelebihan solat malam ke atas solat di siang hari sama seperti kelebihan sedekah secara tersembunyi ke atas sedekah secara terang-terangan.”
Riwayat al-Thabarani (10382)
Imam Ibn Rejab mengatakan hadith ini mempunyai dua hukum (dari sudut sanad) iaitu marfu’ dan juga mawquf. Akan tetapi, mawquf adalah lebih tepat. Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai dhaif dan begitu Syeikh al-Albani menilai hadith ini adalah dhaif
Menurut beberapa pandangan ulama, hadis tersebut yang menceritakan tentang kelebihan solat malam sama seperti kelebihan bersedekah secara tersembunyi adalah dhaif. Walaupun ia dhaif, namun terdapat banyak kelebihan bagi orang yang melazimi solat malam berdasarkan kepada nas Al-Quran dan Hadis.
Kesimpulannya, walaupun hadis di atas adalah dhaif tetapi tidak boleh dinafikan bahawa terdapat banyak kelebihan bagi orang yang mendirikan solat malam.
Sumber: Mufti Wilayah
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.