Mengibas tempat tidur atau tilam dengan menggunakan kain atau apa-apa sahaja yang sesuai adalah merupakan antara sunnah dan adab-adab sebelum tidur yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada umatnya.
Hikmahnya ialah supaya membersihkan tempat tidur berkenaan daripada kotoran atau tanah dan habuk yang berkemungkinan berada di atasnya. Ini juga untuk menghalau haiwan dan serangga berbisa seperti kala jengking, labah-labah, hama dan seumpamanya, yang mungkin bersembunyi di atas tilam, yang membahayakan orang yang akan tidur di atasnya.
إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ عَنْ فِرَاشِهِ ثُمَّ رَجَعَ إِلَيْهِ فَلْيَنْفُضْهُ بِصَنِفَةِ إِزَارِهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ
Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu bangun dari tempat tidurnya, kemudian dia kembali kepadanya, maka hendaklah dia mengibaskannya dengan hujung kainnya sebanyak tiga kali.” Riwayat al-Tirmizi (3401)
Ketika mengibas bacalah ‘Bismillah’ dan mohonlah kepada Allah SWT agar menjaga diri kita daripada sebarang perkara yang tidak diingini. Selain itu juga, marilah sama-sama kita amalkan dengan memulakan setiap aktiviti atau apa-apa sahaja perkara dengan basmalah kerana sabda Nabi SAW:
كلُّ كلامٍ، أو أمرٍ ذي بالٍ لا يُفتَحُ بذِكْرِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ فَهوَ أبترُ
Maksudnya: “Setiap ucapan atau perkara yang tidak dimulai dengan menyebut nama Allah (zikrullah), maka amalan tersebut akan terputus.” Riwayat Ahmad (8712)
Sumber: Mufti Wilayah
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.