Hubungan suami isteri dalam sebuah rumah tangga itu pasti cukup asam garamnya. Ada masanya semuanya baik belaka dan bahagia. Ada kalanya, pasti wujud masalah yang tidak diingini berlaku.
Sebab tu, dalam mengharungi badai rumah tangga, kedua-dua pihak memainkan peranan. Bukan bergantung kepada suami sahaja. Namun, tidak salah jika sebagai isteri, anda juga meletakkan usaha untuk mengurangkan pertelingkahan dalam rumah tangga.
Salah satu ciri yang disukai oleh suami adalah wanita yang sentiasa menenangkan hatinya. Jadi, entri kali ini akan memberi tips mengenai bagaimana cara untuk menjadi isteri yang disenangi suami:
1. Mengambil berat mengenai perkara yang kecil
Kadang-kadang, mengambil berat mengenai perkara yang kecil pun boleh dijadikan sebagai cara yang mudah untuk menambat hati suami. Bertanya kepadanya mengenai sarapan apa yang ingin dimakannya, warna tali leher apa yang ingin dipakainya dan pelbagai lagi.
Ia sedikit sebanyak boleh dijadikan perkara untuk bergurau jenaka sesama suami isteri. Dari sini juga, anda boleh mengetahui perkara yang disukai suami dan sama ada dia seorang yang suka dimanja atau berdikari.
2. Tukarkan leteran kepada penyelesaian
Lumrah wanita suka bercakap sama ada ia adalah dalam bentuk leteran atau sebaliknya. Namun, tak ramai lelaki yang suka akan perkara itu. Terutamanya jika ia dilakukan secara kerap. Kadang-kadang perkara ini yang boleh menimbulkan pergaduhan.
Jadi, jika leteran itu adalah disebabkan oleh perkara kecil, apa kata tukarkan ia kepada penyelesaian. Cari cara yang kreatif untuk menyelesaikan masalah itu jika perkara itu tetap berlaku walau setelah menasihatinya berkali-kali.
3. Jangan memperkecil minat suami
Jika suami suka bertanya pendapat mengenai sesuatu atau meminta bantuan kita mengenai minatnya, jangan dipandang ringan akan perkara tersebut. Mereka juga sama seperti wanita. Yang sentiasa memerlukan sokongan dan pendapat daripada orang lain. Dan semangatnya boleh luntur jika orang terdekatnya memberi komen atau kata-kata yang boleh meruntuhkan semangat.
4. Memahami situasi
Seorang isteri yang baik ialah yang sentiasa memahami situasi dan mood suami. Apabila suami pulang dari kerja dengan penat, janganlah dimulakan perkara yang tidak disukainya. Contohnya mencari gaduh atau berleter kepadanya.
Jika suami memerlukan masa untuk bersendiri atau tidak menjawab persoalan anda, berikan dia ruang untuk berfikir. Seperti wanita yang memerlukan ruang untuk bersendiri atau difahami, begitu juga dengan suami.
5. Sentiasa berhias untuk suami
Berhias di rumah tidak semestinya memakai make up secara penuh atau berkebaya sepanjang masa, namun memadai dengan sentiasa kemas dan menjaga pemakaian.
Sekurang-kurangnya biarlah sedap mata kita memandang. Jika kita rajin untuk berhias di luar rumah, rajin-rajinkanlah diri juga untuk berhias di dalam rumah. Berhias itu bukan untuk orang lain, tetapi suami anda juga.
Sumber: tzkrh.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.