Setiap permulaan sudah pasti akan ada pengakhirannya. Begitu juga dengan nyawa dan kehidupan. Setiap kehidupan sudah pasti ada kematian. Perlukah kita takut akan kematian? Setiap manusia akan meninggalkan dunia ini.
Sebenarnya maksud takut mati yang sebenar ialah apabila kita percaya dan yakin adanya kematian dan kepercayaan itulah yang akan memandu kehidupan kita ke arah yang lebih baik mengikut aturan Islam.
Jika kita sentiasa ingat akan kematian, itu merupakan salah satu perkara yang boleh menghalang diri ini daripada melakukan sesuatu perbuatan yang dimurkai.
Ada sebuah hadis dari Aisyah RA bahawa Baginda SAW bersabda:
Maksud: “Barangsiapa suka berjumpa dengan Allah, Allah juga mencintai penjumpaan dengannya. Sebaliknya barangsiapa membenci perjumpaan dengan Allah, Allah juga membenci perjumpaan dengannya.” Lalu, Aisyah berkata: “Apa yang dimaksudkan dengan benci akan kematian wahai Nabi Allah? Tentu kami semua takut akan kematian.” Nabi SAW bersabda: “Bukan itu maksudnya. Yang sebenarya ialah seorang mukmin apabila diberi khabar gembira mengenai rahmat, keredaan serta syurgaNya. Sedangkan orang kafir, jika diberi khabar dengan seksa dan murka Allah, ia pun khuatir berjumpa dengan Allah, lantas Allah pun tidak suka berjumpa denganNya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2685)
Ada sebuah penyakit di mana seseorang itu takut akan kematian dan hatinya lebih mencintai dunia. Penyakit seperti inilah yang perlu dijauhi kerana bimbang hati kita akan terikat dengan dunia sehingga dikaburi oleh nikmat dunia semata-mata tanpa menitikberatkan perihal yang halal dan haram.
Ketakutan terhadap kematian itu memang perlu ada dalam diri kita supaya menjadikan diri sebagai orang yang sentiasa berhati-hati dengan hidup di dunia yang akan ditimbang di akhirat kelak.
Sumber: tzkrh.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.