Tahukah anda bukan orang kaya sahaja yang boleh memberi sedekah, tetapi semua orang boleh bersedekah dan mendapat pahala ke atasnya kerana sedekah itu datang dalam pelbagai cara.
Bagaimana bersedekah tanpa menghulurkan wang? Sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan, dari Abu Dzar RA berkata:
Maksud: “Sesungguhnya sebahagian dari para sahabat Rasulullah SAW berkata kepada Nabi SAW; “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya lebih banyak mendapat pahala, mereka mengerjakan solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka.”
Baginda SAW bersabda: “Bukankah Allah telah menjadikan kamu sesuatu untuk bersedekah? Sesungguhnya tiap-tiap tasbih adalah sedekah, tiap-tiap tahmid adalah sedekah, tiap-tiap tahlil adalah sedekah, menyuruh kepada kebaikan adalah sedekah dan persetubuhan salah seorang di antara kamu (dengan isterinya) adalah sedekah.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2376)
Melalui hadis ini Baginda SAW berpesan bahawa sedekah itu boleh dilakukan dengan banyak cara. Ia bukan sahaja berlandaskan wang semata-mata, namun juga perbuatan. Sedekah itu ertinya berbuat kebaikan yang boleh memberi manfaat kepada orang sekeliling dan juga diri sendiri.
Apabila kita berzikir, bertahmid dan bertahlil, ia adalah sedekah yang dilakukan oleh mulut kita sendiri dan pahalanya akan mengalir masuk ke dalam bakul saham akhirat kita. Bersedekah kepada orang sekeliling kita juga boleh dilakukan dengan memberi kebaikan kepada orang sekeliling dalam bentuk yang anda mampu.
Jadi, apa kata mula dari sekarang untuk bersedekah. Lazimi sedekah dalam apa jua bentuk yang anda boleh agar semakin banyak anda memberi, Allah juga akan memberi sesuatu kepada anda dengan lebih lagi. Tidak perlu tunggu kaya untuk bersedekah tetapi bersedekahlah untuk menjadi kaya dunia dan akhirat.
Sumber: tzkrh.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.