Surah Al-Hadid telah diturunkan di Madinah 4 tahun selepas Hijrah. Namun kandungan surah ini seakan-akan Surah Makiyyah kerana enam ayat pertama dalam surah ini menekankan tentang kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.
Mengapakah ayat-ayat ini diulang semula oleh Allah SWT sedangkan Islam ketika itu semakin dikenali dan mendapat sokongan yang kuat?
Ini kerana Allah tahu, motivasi dan juga semangat umat Islam di Madinah sedikit demi sedikit telah berubah. Tambahan pula, ada cabaran dalam komuniti mereka – ada pula golongan yang baru memeluk Islam, golongan munafik yang menyembunyikan kepalsuan iman mereka, dan juga golongan Muslim yang cuba mempertahankan iman mereka.
Allah ingin mengingatkan semula mereka, Allah ingin ‘memperbaharui’ semula keyakinan mereka tentang Allah. Allah ingin mengingatkan mereka supaya bertasbih mengagungkan Allah, supaya tidak takut dengan musuh-musuh Islam kerana segala apa yang ada di langit dan di bumi tidak sesekali terlepas daripada kawalan Allah.
Pengajaran yang sama juga patut kita pelajari. Saat iman terasa lemah, ibadah semakin hilang kualiti, dan semakin jarang-jarang zikir meniti di bibir. Maka tataplah semula kata-kata Allah dari surah ini. Semoga iman kita subur semula.
Sumber: tzkrh.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.