Kita disyariatkan untuk doa pada bila-bila masa dan berdoa untuk apa jua hati ini inginkan asalkan tidak membawa kemudaratan kepada diri sendiri mahupun orang lain.
Tetapi, terdapat beberapa waktu yang diriwayatkan sebagai waktu yang paling sesuai ataupun waktu yang mustajab untuk berdoa. Ia juga waktu yang paling digemari baginda Rasulullah SAW untuk berdoa.
- Doa ketika hujan
Umat Islam tahu bahawa awan yang membawa air hujan merupakan rahmat Illahi. Namun, ada sebahagian daripada kita akan mengeluh apabila turunnya hujan atas alasan-alasan tertentu. Tetapi alangkahnya lebih baik jika kita mengambil kesempatan ini untuk berdoa.
Berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Baginda SAW:
ثِنْتَانِ لَا تُرَدَّانِ: الدُّعَاءُ عِنْدَ النِّدَاءِ، وَتَحْتَ الْمَطَرِ
“Doa tidak tertolak pada dua waktu, iaitu ketika azan berkumandang dan ketika hujan turun.”
(Hadis Riwayat Al-Hakim)
- Doa ketika sahur dan berbuka puasa
Untungnya orang yang berpuasa kerana mendapat pahala sepanjang hari menahan nafsu lapar dan dahaga, serta doa yang diujarkannya tiada hijab pada hari itu. Jadi sementara menunggu azan maghrib untuk berbuka puasa ataupun ketika sedang bersahur, berdoa lah di dalam hati ataupun doa yang diujarkan ramai-ramai.
إِنَّ لِلصَّائِم عِندَ فِطْرهِ دَعْوَةً لا تُرَدُّ
Maksud: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka, mempunyai doa mustajab yang tidak akan ditolak.”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Al-Hakim)
- Doa antara azan dan iqamah
Selepas azan dikumandang dan sementara anda sedang menunggu imam melaungkan iqamah, ambil kesempatan untuk berdoa sekejap. Ia adalah waktu yang makbul doanya terutama sekali jika anda berada di dalam masjid. Dari Anas bin Malik RA, ia berkata Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الدُّعَاءَ لاَ يُرَدُّ بَيْنَ الأَذَانِ وَالإِقَامَةِ فَادْعُوا
“Sesungguhnya doa yang tidak tertolak adalah doa antara azan dan iqomah, maka berdoalah (kala itu).”
(Hadis Riwayat Ahmad)
- Doa ketika Hari Arafah
Para salaf zaman dahulu suka memperingatkan hari Arafah kerana pada hari itu terdapat banyak kelebihannya yang tersendiri, antaranya ialah dikabulkan doa baik orang yang sedang wukuf di arafah ataupun tidak.
Dari ‘Amr bin Syua’aib, dari datuknya, Rasulullah SAW bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”
(Hadis Riwayat Tirmizi)
Sumber: tzkrh.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.