
Kerajaan Kelantan menegaskan bahawa warga asing tidak dibenarkan berniaga di bazar Ramadan negeri ini bagi memastikan peluang ekonomi diberikan sepenuhnya kepada rakyat tempatan.
Memetik laporan Sinar Harian, perkara itu diberitahu dan disahkan sendiri oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Kelantan, Hilmi Abdullah.
Menurutnya, tiada permit dikeluarkan kepada peniaga asing dan tindakan akan diambil jika mereka dikesan menjalankan perniagaan di bazar Ramadan.
“Permit kerja warga asing secara umum hanya membenarkan mereka bekerja dalam sektor tertentu seperti pembinaan, ladang dan kerja-kerja atau sektor 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar.
“Namun, untuk perniagaan di bazar Ramadan, warga asing tidak dibenarkan berniaga sama sekali,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Makan Malam Meraikan Pemain Industri Pelancongan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Hilimi menjelaskan, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam isu ini bagi melindungi kepentingan peniaga tempatan yang bergantung kepada bazar Ramadan sebagai sumber pendapatan utama.
Dalam pada itu, dia turut menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap kes ‘Ali Baba’ iaitu sekiranya peniaga tempatan menyewakan atau memindahkan lesen kepada orang lain lebih-lebih lagi warga asing.
Susulan daripada itu, sekiranya terdapat peniaga tempatan yang memberikan ruang kepada warga asing untuk berniaga dengan menggunakan lesen mereka, pihak kerajaan tempatan tidak teragak-agak untuk menarik balik lesen tersebut.
Ini kerana, pihak berkuasa tempatan akan membuat pemantauan berterusan bagi memastikan arahan ini dipatuhi sepenuhnya termasuk di 478 petak di sembilan lokasi bawah seliaan MPKB-BRI.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.