Jurugambar profesional Darrin Zammit Lupi berkhidmat bersama sebuah agensi media terkemuka, Reuters tidak melepaskan peluang merakam dan mengabadikan gambar pertama anak perempuannya, Rebecca, sebaik bayi itu dilahirkan ke dunia.
Selepas 15 tahun berlalu, Darrin terkejut dengan perkhabaran anaknya yang menghidap sejenis kanser tulang yang jarang ditemui, dikenali dengan nama Ewings Sarcoma, pada 2019.
Lebih setahun berjuang, keadaan kesihatan anaknya Rebecca semakin merosot pada Krismas lalu.
"Keadaan Becs sangat teruk pada Hari Krismas. Saya tidak menyangka dia boleh bertahan ke penghujung hari, sedangkan Krismas ialah hari yang paling dinantikannya setiap tahun.
"Dua malam berikutnya, dia terjaga. Sangat mengejutkan kerana kami dapat berbual, berkongsi beberapa saat yang sangat berharga.
“Saya mengajar dia bermain permainan secara maya di telefon pintar bagi menggembirakan Becs.
"Apabila dia kembali tidak sedarkan diri, saya membacakan buku Harry Potter kegemarannya.
"Kata mereka, pendengaran adalah deria terakhir yang akan hilang selepas kita mati, jadi saya mahu dia terus dengar suara saya hingga ke akhirnya," ujarnya.
Rebecca meninggal dunia dalam dakapannya pada 3 Januari selepas kira-kira seminggu tidak sedarkan diri.
Sebagai seorang bapa, ini adalah perkara yang paling perit dialaminya, tanpa berfikir panjang dia merakamkan gambar terakhir Rebecca, beberapa minit selepas menghembuskan nafas terakhir.
Sumber: Reuters
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.