Prosedur operasi standard (SOP) mengenai ibadah umrah dan haji khususnya dalam menggariskan peranan syarikat pengelola jemaah haji dan pengendali umrah akan diperincikan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Menurut Datuk Noor Zari, Ketua Setiausaha MOTAC berkata penetapan SOP akan mengikut ketetapan semasa kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.
Pihak kementerian berperanan melihat aspek SOP bagi kedua-dua negara dan hal-hal kebajikan jemaah Malaysia semasa mengerjakan umrah apabila pihak kerajaan bersedia membenarkan semula pelaksanaan ibadah itu dan juga mengawal selia pengendalian pakej umrah atau ziarah.
Beliau turut menyertai delegasi Malaysia ke Arab Saudi bagi lawatan kerja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang berakhir pada Ahad lalu.
"Para delegasi berpeluang untuk mengikuti pelbagai protokol yang telah ditetapkan kerajaan Arab Saudi dalam melaksanakan ibadah sama ada di Masjidilharam atau Masjid Nabawi.
"Di samping itu para peserta delegasi juga berpeluang untuk meneliti dokumen dan kenyataan rasmi yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi berkaitan kebenaran mengerjakan ibadah haji yang lalu dan umrah terkini," katanya.
Lawatan itu juga bertujuan sebagai persediaan sekiranya kerajaan Arab Saudi membenarkan ibadah itu berlangsung apabila sempadan antara kedua-dua negara kembali dibuka, dan membincangkan mengenai draf kerangka SOP untuk dipertimbangkan kerajaan Malaysia.
Antara perkara yang dibincangkan adalah proses-proses dan keperluan melibatkan peranan pelbagai pihak berkaitan pelaksanaan SOP yang perlu dipatuhi pada tiga jangka waktu termasuk sebelum berangkat, semasa mengerjakan ibadah di Tanah Suci dan setelah kembali ke Malaysia.
Dasar-dasar baharu dan menguatkuasakan SOP yang ketat telah diperkenalkan Kerajaan Arab Saudi sejak membenarkan semula aktiviti umrah kepada umat Islam selain warganegara Arab Saudi pada 1 Nov 2020 lalu.
"Pindaan dari semasa ke semasa turut dibuat kepada SOP tersebut selaras dengan langkah-langkah pencegahan COVID-19 di negara itu dan MOTAC mengikuti rapat sebarang perkembangan baharu berhubung perkara tersebut," katanya.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.