Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan 65 lokasi Bazar Ramadan di Kuala Lumpur dan dijangka beroperasi bermula 3 petang hingga 8 malam sepanjang Ramadan ini.
Menurut kenyataan DBKL, 63 lokasi diselia oleh penganjur bazar Ramadan, manakala dua lagi iaitu di tempat letak kereta Taman Tasik Permaisuri (berhampiran Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur) dan di Jalan 4/38 A Taman Sri Sinar, Segambut (Wisma Suhati), akan diselia oleh DBKL sendiri.
"Pengunjung bazar Ramadan diwajibkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), seperti pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu badan, daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera dan sebagainya.
“Bazar Aidilfitri yang sebelum ini beroperasi di Jalan Raja, akan beroperasi semula di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) bermula 17 April hingga 12 Mei, setelah ditangguhkan pelaksanaannya tahun lalu susulan COVID-19.
“Sebanyak 208 penjaja akan terlibat di lokasi bazar yang bermula dari belakang bangunan Kompleks Campbell sehingga ke susur keluar persimpangan Masjid India, bermula 10 pagi hingga 12 tengah malam,” tambahnya lagi
Bagi mengawal keluar dan masuk pengunjung yang dikawal selia sepenuhnya oleh DBKL, kawasan Lorong TAR yang menempatkan penjaja Bazar Aildilfitri akan dipasang pagar di sepanjang jalan.
Malah, tapak tradisi pasar malam di Lorong TAR setiap Sabtu, akan dipindahkan operasi ke Jalan Tuanku Abdul Rahman sepanjang bulan Ramadan iaitu pada 17 April, 24 April, 1 Mei dan 8 Mei 2021.
DBKL turut mengingatkan penganjur, peniaga, pekerja serta pengunjung bazar, untuk mematuhi segala peraturan, syarat dan SOP yang ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan.
Tindakan tegas akan diambil mana-mana individu atau penganjur yang melanggar peraturan atau SOP ditetapkan bagi mencegah penularan COVID-19, akan berdepan kompaun sehingga maksimum RM10,000 terhadap individu dan RM50,000 kepada penganjur.
Manakala tindakan penutupan gerai, Bazar Ramadan, dan Bazar Aidilfitri terbabit, boleh dilaksanakan DBKL.
Sumber: Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.