Foto: YouTube
Pelakon dan usahawan Malaysia, Ben Amir, memilih untuk membuka restoran di Siargao, Filipina.
Ben Amir atau nama sebenarnya Muhammad Amir bin Sabaruddin mempunyai visi jelas sejak awal bahawa ini bukan sekadar soal memperkenalkan makanan Malaysia, tetapi tentang menyediakan ruang selamat buat komuniti Muslim menikmati hidangan halal yang diyakini.
Menerusi siaran Instagram miliknya, restoran yang dinamakan RASA ini diwujudkan dengan satu matlamat utama iaitu bagi memastikan setiap bahan yang digunakan adalah 100% halal.
Foto: Tangkap layar Instagram
Di sebuah pulau kecil yang belum terbiasa dengan konsep halal, Ben tahu cabaran bukan sedikit.
“Sejak hari pertama, saya tahu saya tak boleh berkompromi. Setiap bahan mesti betul-betul halal,” kata Ben.
Menurut pelakon Sweet Dream itu, prosesnya bukan mudah. Dari mencari pembekal halal, menjelaskan keperluan dan memastikan setiap langkah menepati standard halal memerlukan kesabaran dan ketegasan.
Namun bagi Ben, ianya merupakan satu keutamaan yang tidak boleh dirunding.
Foto: Instagram
Kini, Ben boleh berbangga. Setiap hidangan yang bakal dihidangkan di RASA disediakan dengan penuh teliti, menggunakan bahan daripada pembekal yang diiktiraf halal.
Sama ada nasi lemak, rendang atau menu kegemaran lain, semuanya melalui proses pemilihan yang ketat.
RASA dijangka memulakan operasinya tidak lama lagi, dan Ben berharap kehadirannya akan memberi nilai tambah kepada landskap kulinari Siargao bukan sekadar dari segi rasa, tetapi juga dari segi tanggungjawab dan integriti.
Sekadar info, Ben kini menetap di Siargao, Filipina, di mana beliau mengusahakan beberapa perniagaan termasuk restoran RASA dan The Juice Shack. Beliau juga berkongsi kehidupan pulau dan usahawanannya melalui saluran YouTube "Island Life with Ben Amir".
Sumber: Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.