
Foto: AI (Seeni)
Tular dalam kalangan masyarakat persoalan tentang amalan mencium mushaf al-Quran, terutama selepas tularnya dakwaan bahawa tindakan itu boleh merosakkan akidah. Namun, benarkah dakwaan ini berasas dari sudut syarak, atau sekadar kekeliruan yang timbul tanpa ilmu?
Hukum Mencium Al-Quran Menurut Ulama
Menjawab persoalan ini, para ulama telah lama menjelaskan bahawa hukum mencium mushaf al-Quran ketika mengambilnya atau selepas membacanya adalah harus, malah menurut sebahagian ulama dalam mazhab Syafie dan Hanbali, ia dikira sunat.
Imam As-Suyuthi dalam kitab Al-Itqan menyebut bahawa sahabat Nabi, Ikrimah bin Abu Jahal, sering mencium mushaf al-Quran sebagai tanda penghormatan dan kasih terhadap kalam Allah. Beliau berkata:
"Disunatkan mencium mushaf kerana sungguhnya sahabat yang bernama Ikrimah bin Abi Jahal r.a. adalah beliau melakukannya."
Selain itu, fatwa dari Majlis Agama Palestin turut menegaskan perkara yang sama. Mereka menjelaskan bahawa mencium al-Quran adalah amalan yang dibenarkan dalam mazhab Hanafi dan Hanbali, dan diriwayatkan bahawa Imam Ahmad bin Hanbal turut menganggap ia sebagai sunat.
Dalil dari para sahabat turut menyokong perkara ini. Diriwayatkan bahawa Umar al-Khattab r.a. mencium mushaf setiap pagi, manakala Uthman bin Affan r.a. juga pernah mencium mushaf dan menyapunya pada wajahnya sebagai tanda cinta dan penghormatan.
Imam Nawawi dalam kitab At-Tibyan fi Adab Hamalatil Quran turut meriwayatkan bahawa:
"Ikrimah bin Abi Jahal meletakkan mushaf pada wajahnya dan berkata: 'Kitab Tuhanku, Kitab Tuhanku'."
Tidak Benar Dakwaan Rosak Aqidah
Jelas bahawa amalan mencium al-Quran bukanlah suatu perbuatan bidaah atau menyesatkan seperti yang didakwa sesetengah pihak. Malah, tidak wujud mana-mana ulama muktabar yang menyatakan perbuatan ini boleh merosakkan akidah.
Sebaliknya, menurut ulama, menuduh para sahabat yang mengamalkan mencium mushaf sebagai rosak aqidah merupakan satu fitnah besar dan sangat tercela. Kenyataan sebegitu bukan sahaja mengelirukan umat, malah menghina generasi awal Islam yang paling hampir dengan Nabi Muhammad SAW.
Amalan mencium mushaf al-Quran adalah diharuskan, malah disunatkan menurut ramai ulama terdahulu. Ia merupakan tanda cinta dan penghormatan terhadap kalamullah. Maka, tuduhan bahawa ia boleh merosakkan aqidah adalah fitnah dan tidak berasas.
Rosak aqidah bukan kerana mencium Quran, tetapi kerana hati yang sakit melihat orang lain memuliakan kitab suci itu
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.