Cinta yang paling agung dan hakiki adalah cinta manusia kepada Allah kerana ia adalah cinta yang merangkumi semua aspek. Imam Ghazali menerangkan bahawa ada dua bentuk cinta terulung yang wujud, iaitu cinta manusia kepada Allah dan juga cinta Allah kepada manusia.
Cinta kepada Allah SWT ialah mengenali dan merasa takut kepadaNya, hati juga akan merasa sibuk dengan ingatan terhadap Allah sekali gus menjadikan diri sentiasa berusaha menepati perintah dan menjauhi larangan Allah untuk meraih redaNya.
Mafhum: “Sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah.” (Surah Al-Baqarah, 2:165)
Namun, bagaimana untuk menjadi salah seorang hamba yang dicintai Allah SWT? Terdapat beberapa dalil di dalam Al-Quran yang menyebut mengenai ciri-ciri orang yang dicintai Allah, antaranya;
1. Orang yang bertaubat
إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Mafhum: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri.” (Surah Al-Baqarah, 2:222)
2. –Orang yang bertakwa
فَإِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ
Mafhum: “Maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Al-Imran, 3:76)
3. Orang yang sabar
وَاللَّـهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ
Mafhum: “Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.” (Surah Al-Imran, 3:146)
4. Orang yang adil
وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم بَيْنَهُم بِالْقِسْطِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Mafhum: “Dan jika engkau menghukum, maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah Al-Maidah, 5:42)
5. Yang beramal soleh
الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّـهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Mafhum: “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik.” (Surah Al-Imran, 3:134)
6. – Berjihad di jalan Allah
إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنْيَانٌ مَّرْصُوصٌ
Mafhum: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah As-Saff, 61:4)
Cinta manusia kepada Allah adalah salah satu perkara yang tiada tandingnya. Justeru, belajarlah mencintai Allah untuk meraih keberkatan dunia.
Sumber: tzkrh.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.