Manusia perlukan tidur secukupnya untuk mengembalikan semula tenaga yang telah digunakan oleh badan seharian. Malah, melalui tidur juga dapat menyebabkan minda dan otak seseorang lebih tenang setelah penat berperang dengan masalah.
Namun, hidup ini tidak akan pernah tenang atau lari dari masalah walaupun dalam keadaan tidur. Syaitan akan mengganggu manusia dengan perkara-perkara yang tidak disukai atau melalaikan seseorang.
Itulah yang dinamakan dengan mainan tidur atau mimpi yang sering kita dengar bahawa ia adalah datangnya dari syaitan. Para ahli dan ilmuan menyifatkan mimpi sebagai sesuatu yang unik kerana ia hadir dari minda dan pemikiran seseorang. Ia bermaksud, segala apa yang pernah difikirkan itu yang akan hadir dalam mimpi.
Walau bagaimanapun, menurut jumhur ulama’ mimpi boleh dikategorikan kepada tiga jenis, iaitu mimpi yang baik dan benar, mimpi akibat daripada permainan syaitan dan dengan tujuan yang menakutkan serta jenis yang ketiga ialah mimpi yang datangnya daripada kehidupan nyata.
“Mimpi itu ada tiga jenis: Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam. Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur. Mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 3907)
Oleh itu, jika anda terbangun dari tidur disebabkan oleh gangguan mimpi yang buruk dan kurang menyenangkan, bacalah doa ini sebagai penghalang dan untuk menghindarkan dari terus diganggu serta boleh tidur dengan tenang.
اَللّٰهُمَّ إِنّىِ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ وَسَيِّئاَتِ اْلأَحْلاَمِ
Maksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlidungan kepada Engkau dari perbuatan syaitan dan dari mimpi-mimpi yang buruk.”
Doa ini juga dikatakan boleh dibaca sebelum tidur, iaitu sekali dengan doa sebelum tidur.
Sumber: Islam Itu Indah
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.