Foto: Tangkapan skrin layar
Usahawan dan selebriti terkenal, Datuk Seri Vida tidak dapat menahan sebak apabila mendakwa terlihat kalimah Allah terpancar di langit malam sewaktu merakam suasana bulan dari luar kediamannya di Jerteh, Terengganu, baru-baru ini.
Momen menyentuh hati itu dikongsi Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 54, menerusi video di akaun TikTok miliknya, yang memperlihatkan dirinya mengalirkan air mata kerana terlalu sebak dengan apa yang disaksikan.
Menurut Vida, kejadian itu berlaku secara tidak disangka ketika beliau singgah di rumah lamanya yang sudah lama ditinggalkan.
“Saya hanya berniat untuk rakam cahaya anak bulan yang sangat terang malam itu. Tapi tiba-tiba, Allahuakbar… luluh hati saya apabila nampak seolah-olah kalimah Allah terpampang di langit malam, disinari cahaya bulan.
“Betapa hebatnya kekuasaan Allah. Sebak hati saya, hingga air mata mengalir sendiri. Sungguh menginsafkan,” ujarnya dalam nada penuh emosi.
Video berkenaan tular dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, yang turut tersentuh dengan luahan dan kepekaan rohani usahawan itu terhadap tanda-tanda kebesaran Ilahi.
Dalam video yang sama, Datuk Seri Vida turut berkongsi berita besar mengenai hasrat beliau membina sebuah pusat pengajian dan penulisan al-Quran, yang akan dinamakan Baitul Nurly Jannah, sempena nama arwah Nurly Shahirah Azman yang merupakam pelajar UPSI yang terkorban dalam kemalangan bas baru-baru ini.
“Hari ini saya umumkan satu hajat besar dalam hidup saya… iaitu mahu membina sebuah tempat yang akan lahirkan anak-anak al-Quran.
“Tempat itu akan dinamakan Baitul Nurly Jannah, sempena nama arwah Nurly — tempat untuk belajar, menulis dan mencintai kalam Allah.
“Saya tak mahu pemergian Nurly hanya dikenang dengan air mata, tapi dengan ilmu yang akan terus hidup sampai ke akhir zaman,” katanya sambil menahan sebak.
Arwah Nurly sebelum ini menjadi perhatian ramai selepas keluarganya mendedahkan bahawa beliau merupakan seorang hafizah yang berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran, selain memiliki senaskhah al-Quran hasil tulisan tangannya sendiri.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Vida juga dilaporkan telah menziarahi rumah serta pusara Allahyarham Nurly sebagai tanda penghormatan dan simpati terhadap keluarga pelajar berjiwa besar itu.
Ziarah tersebut dilakukan selepas kemalangan tragis yang berlaku di Gerik, Perak, yang mengorbankan beberapa pelajar termasuk Nurly yang sedang menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Kehilangan Nurly ternyata memberi kesan mendalam kepada Vida, hingga membangkitkan keinginan beliau untuk mengabadikan legasi arwah dalam bentuk institusi ilmu yang akan memberi manfaat kepada ramai insan.
Sumber: TikTok
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.