Sering sekali kita mendengar mengenai hasad, tetapi apa itu hasad? Hasad bukanlah sesuatu yang menjadi kebanggaan atau perkara yang terpuji. Bahkan, ia adalah sifat yang jelik dan tercela.
Menurut Imam Nawawi dalam kitab Riyadhussolihin mentakrifkan hasad sebagai seseorang yang tidak gembira jika saudaranya mendapatkan sesuatu, sedangkan ia sendiri akan gembira kalau memperolehnya, maka orang yang sedemikian ini disebut sebagai seorang yang dengki.
Sudah pasti, hasad itu akan memberi kesan bukan sahaja kepada orang yang dihasadkannya, tetapi juga kepada empunya diri yang mempunyai hasad dalam hatinya.
1. Jauh daripada Allah ‘Azza Wa Jal
Hati ini sangatlah rapuh. Apa jua yang memasuki fikiran, akan mempengaruhi hati. Bukan sahaja diri kita secara fizikal, ia akan mempengaruhi kesihatan rohani dan iman kita secara menyeluruh.
Allah SWT berfirman,
وَلاَ تَتَمَنَّوْاْ مَا فَضَّلَ اللّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُواْ وَلِلنِّسَاء نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ وَاسْأَلُواْ اللّهَ مِن فَضْلِهِ
“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. Bagi orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian daripada kurniaan-Nya.” (Surah An Nisaa’ 4: 32)
Kita akan sentiasa sibuk memikirkan apa yang ada pada orang lain dan apa yang tiada pada kita, tanpa kita disedari lama-kelamaan kita sudah membela jiwa yang tidak bersyukur kepada Allah.
2. Hilang sifat simpati dan empati dalam diri
Orang Islam diajar dan digalakkan untuk saling menolong antara satu sama lain. Jika saudara kita sedang bahagia dengan kehidupannya, maka kita juga seharusnya turut tumpang bahagia. Jika keadaan saudara kita adalah sebaliknya, maka begitulah jua yang kita akan rasa.
Sudah jelas sifat hasad dalam diri seorang Muslim itu adalah bertentangan dengan keadaan iman kita. Jauh sekali untuk berada dalam lingkungan sempurnanya iman kita. Kerana Nabi Muhammad SAW sendiri sering menekan betapa pentingnya untuk kita mengasihi saudara kita sepertimana kita mengasihi diri kita sendiri.
Sabda Nabi SAW,
اَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
“Salah seorang di antara kalian tidaklah akan beriman dengan sempurna hingga menginginkan untuk saudaranya hal-hal yang dia inginkan untuk dirinya sendiri.” (HR. Bukhari dan Muslim)
3. Mengulangi dosa pertama di Bumi, bertambahnya dosa
Ada orang yang mempunyai sifat hasad dalam dirinya, pastilah ada pula orang yang dihasadkannya, bukan? Biasanya selagi mana orang tersebut tidak tersungkur dalam hidupnya, selagi itu si dia yang ada hasad tadi tidak akan berpuas hati. Nampak tak betapa bahayanya hasad dalam diri kita sebagai manusia ini?
Buya Hamka menyatakan dalam kitab Tafsi al-Azhar bahawa hasad merupakan dosa yang pertama dilakukan di langit dan bumi. Dosa di langit iaitu dengki Iblis kepada Nabi Adam AS. Dan dosa di bumi adalah sifat hasad dengki Qabil kepada Habil yang membawa kepada pembunuhan pertama dalam sejarah manusia.
Tiada yang sempurna antara kita dan sudah pasti akan ada cacat celanya. Sekecil-kecil perbuatan adalah menyedari kesilapan diri kita sendiri. Memohon keampunan kepada Allah ’Azza Wa Jal dan memohon kekuatan agar diri sentiasa berusaha ke arah kebaikan dan kehidupan yang diredai olehNya.
Sumber: tzkrh.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.