Foto sekadar hiasan
Fenomena individu yang ditemui tidak bernyawa selepas beberapa hari dalam kediaman mereka sendiri semakin menjadi kebiasaan dan membimbangkan masyarakat. Punca utama yang dikenal pasti ialah kurangnya semangat kejiranan serta kelemahan dalam hubungan sosial sesama penduduk setempat.
Tinjauan yang dilakukan mendapati hampir sejuta rakyat Malaysia tidak pernah bersua muka dengan jiran mereka dalam tempoh sebulan, satu angka yang mengejutkan serta menggambarkan betapa seriusnya isu jurang hubungan kejiranan pada masa kini.
Seorang responden berkongsi bahawa gaya hidup yang sibuk dan jadual harian yang padat menjadi faktor utama mengapa mereka tidak sempat berinteraksi dengan jiran.
"Kami sibuk bekerja, masing-masing selepas subuh dah keluar, balik pula masing-masing tak sama waktu. Sampai rumah saja semua nak cepat rehat. Tak sempat nak bertegur kecuali kalau terserempak dekat pagar," jelasnya.
Lebih membimbangkan, terdapat juga dalam kalangan masyarakat yang memilih untuk tidak menegur jiran kerana menganggap perbuatan tersebut tidak membawa manfaat.
"Kadang-kadang kalau dah bertahun tak bertegur rasanya jiran itu yang toksik. Lagi baik tak perlu nak tegur, banyak mulut je manis sekarang ini tetapi hati entah siapa tahu," ujar seorang lagi responden.
Ketiadaan komunikasi dan keakraban inilah yang menyebabkan ramai penduduk tidak menyedari kejadian seperti kematian yang berlaku di sebelah rumah mereka sendiri, sehinggalah selepas beberapa hari apabila timbul bau atau tanda mencurigakan.
Semangat kejiranan yang suatu ketika dahulu sangat dihargai kini kian luntur. Jika dahulu jiran dianggap sebagai keluarga terdekat, kini masing-masing lebih selesa dengan kehidupan sendiri tanpa mengambil tahu keadaan sekeliling.
Usaha pemulihan semangat kejiranan perlu segera digiatkan melalui penganjuran aktiviti komuniti seperti gotong-royong, sambutan perayaan bersama, atau pertemuan kecil sesama penduduk. Kerjasama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan, malah boleh menjadi benteng awal dalam menangani kejadian-kejadian yang tidak diingini.
Justeru, masyarakat harus sedar bahawa budaya bertegur sapa dan saling prihatin antara jiran bukan sekadar nilai lama yang lapuk, tetapi merupakan kunci utama dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan bersama.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.