
Foto Hiasan
Perkahwinan dalam Islam mempunyai beberapa tujuan utama (maqasid), antaranya adalah untuk mendapatkan zuriat bagi meneruskan keturunan dan kesinambungan keluarga. Namun, tidak semua pasangan dikurniakan zuriat dengan mudah atas pelbagai faktor kesihatan atau lain-lain.
Seiring dengan kemajuan teknologi, pelbagai kaedah moden telah dikembangkan untuk membantu pasangan mendapatkan zuriat, salah satunya ialah melalui kaedah ibu tumpang atau surrogate mother. Kaedah ini melibatkan proses di mana sperma dan ovum pasangan disenyawakan secara in-vitro (di luar rahim), kemudian embrio tersebut dipindahkan ke rahim wanita lain yang akan mengandung bayi tersebut. Biasanya, wanita ini akan menerima bayaran sebagai ‘penyewa’ rahim.

Foto Hiasan
Jadi, persoalannya apakah hukum menggunakan kaedah ibu tumpang dalam Islam? Walaupun kaedah ibu tumpang ini dapat membantu menghasilkan zuriat secara perubatan, daripada sudut syariah, ia menimbulkan persoalan dan kontroversi yang besar.
Secara ringkas, terdapat beberapa bentuk kaedah ibu tumpang yang biasa dilakukan:
1. Sperma dan ovum pasangan suami isteri disenyawakan di luar dan embrio dipindahkan ke rahim wanita asing (ajnas).
2. Sperma dan ovum pasangan suami isteri disenyawakan di luar dan embrio dipindahkan ke rahim isteri lain (bagi yang berpoligami).
3. Sperma dan ovum dari lelaki dan perempuan yang berlainan disenyawakan di luar dan embrio dipindahkan ke rahim wanita asing, kemudian bayi diserahkan kepada pasangan yang memerlukan.
4. Sperma suami disenyawakan dengan ovum wanita asing, wanita asing mengandung dan melahirkan bayi yang kemudian diserahkan kepada pasangan bersama ganjaran.
5. Ovum isteri disenyawakan dengan sperma lelaki asing, embrio dipindahkan ke rahim wanita asing, dan selepas kelahiran bayi diserahkan kepada pasangan bersama bayaran.
Jumhur ulama’ mu’asirin (majoriti ulama kontemporari) bersepakat bahawa semua kaedah di atas adalah haram.
Keputusan ini juga disokong oleh badan fatwa antarabangsa seperti Majma’ al-Fiqh al-Islami (Arab Saudi) dan Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah (Mesir).
Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah melalui Dar al-Ifta al-Misriyyah telah mengeluarkan fatwa pada 29 Mac 2001 yang menyatakan bahawa:
“Penyewaan rahim adalah haram pada syara’. Para ulama fiqh kontemporari juga sepakat mengenai keharamannya. Salah satu sebabnya adalah kerana tidak dapat dipastikan siapa ibu yang sebenar bagi bayi tersebut disebabkan adanya pihak ketiga (wanita yang menyewakan rahim). Ini menimbulkan permasalahan besar tentang siapakah ibu sebenar bayi itu, sama ada wanita yang memberikan ovum (ibu genetik) atau wanita yang mengandungkan bayi tersebut. Perselisihan ini bertentangan dengan maqasid syariah yang mahu menjaga kestabilan, ketenteraman dan mengelakkan pertikaian.”
Penggunaan ibu tumpang walaupun secara perubatan mampu membantu mendapatkan zuriat, namun dari sudut hukum Islam, ia tidak dibenarkan dan hukumnya adalah haram. Ini kerana ia melibatkan campur tangan pihak ketiga dalam proses kelahiran anak dan menimbulkan kekeliruan serta pertikaian dalam menentukan nasab bayi tersebut.

Foto Hiasan
Pasangan yang menghadapi masalah untuk mendapatkan zuriat digalakkan untuk terus berikhtiar melalui cara-cara yang dibenarkan oleh syariah dan sentiasa bertawakkal kepada Allah SWT.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.