Foto sekadar hiasan
Soalan:
Adakah dibenarkan bagi seorang muallaf (saudara baru yang memeluk Islam) untuk menziarahi kubur ibu bapanya yang telah meninggal dunia dalam keadaan bukan Islam?
Jawapan:
Hukum menziarahi kubur ibu bapa yang bukan Islam adalah harus, dan perkara ini telah dijelaskan oleh para ulama berdasarkan dalil dan pandangan fiqh muktabar. Seorang Muslim, termasuk muallaf, dibolehkan untuk menziarahi kubur bukan Islam sekiranya melibatkan ibu bapa, ahli keluarga terdekat atau sahabat, selagi mana ia tidak melibatkan sebarang unsur syirik atau perbuatan yang bercanggah dengan akidah Islam.
Pandangan Ulama
1. Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Majmuk menyatakan:
"Dan harus bagi orang Islam mengiringi jenazah keluarganya yang bukan Islam. Manakala hukum menziarahi kubur mereka, maka yang sahih ialah ianya harus. Pendapat ini telah diputuskan oleh kebanyakan fuqaha."
Ini bermakna, bukan sahaja dibenarkan untuk hadir menghantar jenazah bukan Islam dalam kalangan keluarga terdekat, malah juga dibenarkan untuk menziarahi kubur mereka, dengan syarat tidak melakukan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan akidah Islam.
2. Syeikh Al-Qalyubi dalam Hasyiah Al-Qalyubi wa Umairah turut memperkukuh pandangan ini dengan menyatakan:
"Tidak mengapa orang Islam mengikuti penghantaran jenazah sanak saudaranya yang bukan Islam. Dan begitu juga hukum bagi isteri, jiran, dan sahabat. Hukum menziarahi kubur mereka juga adalah harus."
Ini memberi maksud bahawa hubungan kekeluargaan atau hubungan sosial tidak menjadi halangan untuk seorang Muslim menunjukkan penghormatan terakhir secara syarak, selagi tidak melanggar batasan agama.
Jika Bertujuan Mengambil Iktibar
Menurut Syeikh Ibnu Hajar, terdapat tambahan nilai kepada perbuatan ziarah tersebut jika ia dilakukan dengan niat untuk mengambil iktibar atau mengingati kematian. Dalam hal ini, hukum asal yang harus boleh berubah kepada sunat.
Beliau menyebut dalam Tuhfah Al-Muhtaj:
"Adapun menziarahi kubur orang kafir maka tidak disunatkan. Namun, ia tetap harus berdasarkan pandangan yang lebih sahih. Ya, sekiranya ziarah itu dilakukan dengan niat untuk mengambil pengajaran dan mengingati kematian, maka ia menjadi sunat secara mutlak."
Kesimpulan
Berdasarkan pandangan para ulama:
- Harus bagi seorang muallaf menziarahi kubur ibu bapa atau ahli keluarga yang meninggal dunia dalam keadaan bukan Islam.
- Dibenarkan juga menghadiri penghantaran jenazah mereka sebagai tanda hormat dan kasih sayang kekeluargaan.
- Jika ziarah dilakukan dengan niat mengambil pengajaran dan mengingati kematian, maka ia menjadi sunat.
- Namun, ia perlu dilakukan dengan menjaga batas-batas akidah dan tidak melakukan amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam seperti berdoa untuk keampunan si mati yang bukan Islam.
Sumber: Harakah Daily
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.