
Foto: Agensi
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, secara rasmi mengumumkan berakhirnya konflik bersenjata selama 12 hari antara negara itu dan Israel, sekali gus menandakan bermulanya satu fasa gencatan senjata yang disifatkan sebagai penting bagi kestabilan rantau Asia Barat.
Pengumuman tersebut disampaikan Pezeshkian dalam satu kenyataan rasmi yang disiarkan oleh agensi berita kerajaan, IRNA, pada Selasa. Dalam ucapan tersebut, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap ketabahan dan keberanian rakyat Iran yang disifatkannya sebagai pencetus utama kepada kejayaan mempertahankan negara daripada ancaman luar.
"Hari ini, selepas penentangan heroik oleh rakyat negara besar kita, yang keazaman mereka telah mencipta sejarah, kita akhirnya menyaksikan termeterainya gencatan senjata dan berakhirnya perang 12 hari ini yang dicetuskan oleh tindakan provokatif serta pengembaraan berbahaya pihak rejim Zionis," ujar Presiden Pezeshkian dengan penuh ketegasan.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan Iran dalam menghadapi tekanan dan ancaman serantau tidak lain adalah hasil daripada kesatuan dan tekad jitu seluruh rakyat. Pezeshkian menyifatkan rakyat Iran sebagai benteng utama dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.
"Segala kejayaan kami datang daripada tekad rakyat Iran. Mereka adalah benteng utama negara ini dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan," katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan bahawa Iran akan terus komited terhadap usaha-usaha menjamin keamanan serantau dan antarabangsa, meskipun berhadapan dengan tindakan agresif berterusan oleh rejim Zionis dan pelanggaran janji oleh kuasa-kuasa besar dunia.
Kenyataan Presiden Iran itu hadir sehari selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan satu gencatan senjata menyeluruh yang dipersetujui antara Iran dan Israel. Trump menyatakan bahawa langkah gencatan senjata ini adalah sebahagian daripada usaha diplomatik untuk meredakan ketegangan dan memberi ruang kepada kedua-dua pihak menyelesaikan misi masing-masing secara aman.
Trump turut mencadangkan supaya kedua-dua negara diberikan tempoh masa yang mencukupi untuk melaksanakan peralihan ke arah perdamaian secara berperingkat, sebelum langkah damai dilaksanakan sepenuhnya.
Berakhirnya konflik ini disambut baik oleh pelbagai pihak antarabangsa yang melihatnya sebagai peluang untuk merintis jalan damai yang lebih kukuh di Timur Tengah.
Sumber: Agensi
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.