
Foto: Astro Awani
Sebuah hospital pemulihan dan prostetik yang dinamakan Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani dan dibiayai oleh Qatar di Gaza telah menjadi sasaran serangan ketenteraan Israel pada hari Isnin lalu. Menurut laporan daripada Anadolu Ajansi (AA), serangan tersebut mengakibatkan kerosakan fizikal pada bangunan hospital.
Pihak berkuasa Qatar segera mengecam tindakan tersebut dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada siri serangan meluas yang menimpa penduduk awam Palestin di wilayah tersebut.
Dikatakan sekurang-kurangnya satu tembakan artileri telah mengenai hospital yang sejak beberapa hari lalu tidak beroperasi akibat peningkatan intensiti serangan Israel di utara Gaza.
Dalam satu kenyataan rasmi, Kementerian Luar Qatar mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel yang membedil Hospital Pemulihan dan Prostetik Hamad yang terletak di Semenanjung Gaza.
Dalam pada itu, Kementerian itu menegaskan bahawa serangan berulang kali yang dilancarkan Israel terhadap penduduk awam, kemudahan kesihatan, kawasan penempatan, serta infrastruktur penting lain merupakan sebahagian daripada satu operasi genosid yang menyasarkan rakyat Palestin.
Qatar turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk memainkan peranan penting dengan mengambil tindakan segera bagi menghentikan konflik ganas ini serta menangani krisis kemanusiaan yang semakin parah di Gaza.
Hospital Sheikh Hamad yang mula beroperasi pada tahun 2019 adalah hasil projek pembinaan semula Gaza yang dibiayai melalui peruntukan sebanyak AS$407 juta yang disalurkan oleh Kementerian Luar Qatar sejak 2012.
Sepanjang tempoh beberapa bulan konflik yang berlarutan, hospital ini bersama kawasan sekitarnya telah beberapa kali menjadi sasaran serangan udara dan darat oleh tentera Israel sehingga mengganggu operasi hospital tersebut.
Pada November 2023, tentera Israel melalui jurucakapnya, Daniel Hagari, mendakwa pihak mereka menemui terowong yang digunakan oleh kumpulan Hamas berhampiran kawasan hospital ketika operasi darat di utara Gaza. Namun, dakwaan tersebut telah ditolak oleh Qatar.
Pada Februari 2024, Mohammed Al-Emadi, ketua Jawatankuasa Qatar bagi Pembinaan Semula Gaza, menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas dan tiada bukti kukuh mahupun pengesahan bebas yang menyokongnya.
Al-Emadi juga menyifatkan tuduhan itu sebagai cubaan untuk memberi justifikasi kepada serangan ke atas kemudahan awam seperti hospital, sekolah, dan pusat perlindungan.
Hospital Sheikh Hamad merupakan antara empat hospital yang menjadi sasaran serangan Israel dalam tempoh seminggu terakhir, selain Hospital Eropah Gaza, Kompleks Perubatan Nasser, dan Hospital Indonesia yang turut dikepung pada hari Ahad.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza pada 8 Mei, sebanyak 38 hospital, 81 pusat kesihatan, dan 164 institusi kesihatan telah rosak teruk, musnah, atau tidak dapat beroperasi akibat daripada serangan tentera Israel.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.