Semua pasangan akan bergaduh atau bertengkar. Ada yang bergaduh secara baik, ada pergaduhan yang sampai boleh menamatkan hubungan.
Prof Dr John Gottman melalui institusi beliau Gottman Intitute Research ada mencipta sebuah teori tentang pergaduhan yang boleh mengakibatkan pasangan berpisah atau bercerai. Ia dinamakan sebagai “The Four Hoursemen” iaitu metafora yang diambil dari kitab Injil yang menyatakan tentang peperangan dalam Apocalypes yang melibatkan empat jenis ekor kuda.
Tidak kira pasangan yang bercinta, bertunang atau berkahwin, empat keadaan ini hampir dilalui oleh kebanyakan pasangan yang perdah berpisah.
1. Criticism (Kritikan)
Menurut Gottman, kritikan ada dua jenis iaitu mengadu tentang apa yang patut ditegur seperti sikap dan yang kedua kritikan bersifat peribadi yang mana lebih pada serangan peribadi bukannya menjurus pada tingkah laku atau sikap pasangan yang perlu ditegur.
Namun bilamana kita berada dalam situasi saling mengkritik, jangan fikir bahawa hubungan kita bakal berakhir, Cuma kita perlu mahir kendalikan kritikan itu kembali pada asasnya seperti aduan yang tidak begitu menyakitkan hati.
2. Contempt (Hinaan)
Apabila setiap kali berlaku kesalahfahaman atau pertengkaran kita akan mengambil sikap untuk mengherdik, sarkastik dan menggunakan laras bahasa yang mengejek beserta dengan bahasa tubuh yang negatif seperti jelingan mata.
Apa yang membezakan kritikan dengan hinaan ialah kritikan lebih pada peribadi manakala hinaan lebih bertujuan untuk menjatuhkan motivasi seseorang.
Kajian oleh Greta Hysi dari University Of Tirana dari Albania Jabatan Psikologi dan Pendidikan menyatakan bahawa kesan pergaduhan menggunakan gaya hinaan dan cercaan sebegini mampu menyebabkan seseorang itu jatuh sakit seperti demam dan lesu badan. Menurut John Gottman juga, pertelingkahan sebegini selalunya paling banyak menjadi punca kepada masalah perceraian.
3. Defensiveness (Mempertahankan diri)
Gaya pertelingkahan yang ketiga ini selalunya cara yang tipikal yang digunakan kebanyakan orang apabila berdepan dengan apa jua isu bersama pasangan sebagai mekanisma untuk berasa selamat.
Kaedah cara pertahanan diri seperti ini tidak berkesan kerana kita seolah-olah nak selamatkan diri seorang sahaja lalu kita abaikan keadaan yang belum selesai itu pada pasangan kita.
Dengan cara ini, pasangan yang mempertahankan diri secara tidak langsung menalihkan kesalahan pergaduhan pada pasangan sehingga membuatkan pasangan berasa bersalah.
Sebaliknya, kita seharusnya mengamalkan gaya non-defensiveness (tidak mempertahankan diri) seperti mengambil sikap mengambil rasa tanggungjawab bersama, pengakuan salah serta memahami keadaan pasangan.
4. Stonewalling (Melarikan diri dari masalah)
Bahasa mudahnya, anda cuba memalingkan diri dari pasangan yang sedang mengkritik anda. Anda tidak mahu berhadapan dengan isu yang sedang dihadapi, dan memalingkan diri terus tanpa tahu bila lagi hendak berbincang semula. Ini memberi kesan pada psikologi pasangan yang agak berat sebab pasangan akan ternanti-nanti dimanakah penghujung masalah tersebut.
Keletihan emosi yang sentiasa membanjiri akal fikiran setiap kali melarikan diri sebegini akan mengakibatkan emosi pasangan terlalu letih lalu akhirnya putus asa untuk meneruskan hubungan sebab kekurangan tenaga emosi.
Dalam setiap perhubungan, kita semua akan diuji dengan konflik komunikasi, perspektif yang salah, dan ekspetasi yang salah. Ingatlah kita pada firman Allah SWT ini:
“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci kepada mereka (kerana tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu.” (Surah an-Nisa, ayat 19)
Sumber: Islam Itu Indah
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.