Menjelang Ramadan ini, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan solat sunat tarawih dan aktiviti pengimarahan di masjid serta surau di seluruh negeri di Kelantan.
Menurut kenyataan Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, perihal itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
"Bagi solat tarawih dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid, surau dan musolla dengan penjarakan fizikal satu meter.
“Ia boleh dilaksanakan sama ada lapan atau 20 rakaat dengan bacaan surah atau ayat pendek dalam tempoh tidak lebih satu jam tidak termasuk solat Isyak.
"Tazkirah tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan solat tarawih, manakala tazkirah subuh, asar dan lain-lain adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal satu meter.
Menurutnya lagi, aktiviti tadarus al-Quran dibenarkan mengikut kapasiti masjid dengan penjarakan fizikal satu meter dan tidak melebihi sejam. Bagi qiamullail pula, ia boleh dijalankan selama satu jam sebelum waktu imsak.
"Jamuan berbuka puasa dan bersahur tidak dibenarkan, namun masjid, surau dan musolla digalakkan untuk menyediakan menu berbuka dan bersahur secara bungkus dan diagihkan kepada jemaah," katanya lagi
Kanak-kanak yang berumur tujuh tahun dan ke atas pasti teruja kerana dibenarkan mengikuti program-program yang diadakan di masjid dan surau.
Prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan mesti dipatuhi semua pihak dan tindakan tegas akan diambil jika gagal mematuhi arahan itu.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.