Ketupas palas sejuk beku yang dihasilkan golongan asnaf kini mendapat permintaan ramai khusus buat perantau di luar Kelantan.
Niat murni Zarina Mohd Nawawi bermula apabila memberi peluang pekerjaan kepada golongan asnaf dari Kampung Bukit Gading dengan membuat ketupat palas.
Zarina yang berusia 49 tahun itu memaklumkan ketupat sejuk beku hasil air tangan golongan asnaf itu mendapat pesanan dari luar Kelantan dengan bilangan 90 peratus tempahan dihantar ke Kuala Lumpur, Johor dan Pahang.
Mesra disapa Kak Na, dia menekankan perniagaan ini bukan sekadar beramal tetapi meluaskan lagi sumber pencarian rezeki bagi golongan asnaf di sini sehingga mendapat sambutan orang ramai.
"Semua pekerja yang Kak Na ambil merupakan golongan asnaf dan hampir kesemuanya adalah terdiri daripada wanita yang berumur sekitar 30 hingga 60 tahun.
"Untuk tempahan kita buka sejak Februari lepas, dalam tempoh tersebut 4,000 hingga 5,000 biji ketupat disiapkan sehari.
"Tetapi memasuki bulan Ramadan proses pembuatan mencecah 10,000 biji sehari.
"Sejak 2018 hingga sekarang, kita berjaya hasilkan lebih kurang dua juta biji ketupat sejuk beku," katanya
Sambutan luar biasa bagi pelanggan di perantauan memberi peluang masyarakat di luar Kelantan menikmati ketupat palas buatan negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Malah, resipi ketupat palas ini istimewa kerana ia resipi daripada seorang pekerja di situ sendiri yang kemudiannya diolah supaya lebih enak dan berkualiti.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.