Foto: Instagram
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa label atau tanda ‘Muslim Choice’ bukanlah perakuan halal yang diiktiraf kerajaan.
Tegas agensi itu, penggunaan label berkenaan tidak boleh dianggap sebagai sijil halal rasmi di bawah mana-mana pihak berkuasa pensijilan halal yang sah di Malaysia.
JAKIM menjelaskan, hanya produk dan premis yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) atau yang disahkan oleh badan pensijilan luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM sahaja boleh diiktiraf halal.
Penggunaan label selain daripada itu berisiko mengelirukan pengguna, terutamanya masyarakat Islam yang mementingkan status halal dalam setiap pembelian.
Agensi berkenaan turut menasihatkan mana-mana syarikat, pengeluar produk dan pemilik premis makanan supaya tidak menggunakan label ‘Muslim Choice’ atau sebarang tanda yang boleh menimbulkan tanggapan seolah-olah produk mereka telah disahkan halal.
Tindakan tegas, termasuk siasatan dan pendakwaan, boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan istilah atau logo yang berkait dengan halal.
Menurut JAKIM, kebelakangan ini terdapat peningkatan kes penggunaan logo dan label halal yang tidak sah, termasuk tanda yang direka sendiri oleh pihak tidak bertanggungjawab. Keadaan ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna dan boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara.
JAKIM menegaskan komitmen mereka untuk terus memperkukuh penguatkuasaan dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan mengenali logo halal rasmi yang sah di sisi undang-undang.
Ini bagi memastikan umat Islam di Malaysia mendapat jaminan terhadap produk yang benar-benar halal dan menepati piawaian syarak.
Sumber: Berita Harian
      
     
    
      Filled Under :
      
      
      
      *Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.