Foto: Kosmo
Lebih 1,000 masjid di Semenanjung Gaza dilaporkan ranap akibat serangan udara berterusan oleh rejim Zionis Israel sejak bermulanya konflik pada Oktober 2023
Antara yang terbaharu, Masjid Al-Faraj yang terletak di kem pelarian Nuseirat, tengah Gaza, telah dibom dalam satu serangan udara yang turut mencederakan beberapa rakyat Palestin.
Menurut saksi kejadian, letupan itu memusnahkan sepenuhnya struktur masjid dan menyebabkan kerosakan di kawasan sekitar. Mangsa-mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Al-Awda bagi mendapatkan rawatan segera. Serangan ke atas rumah ibadat ini bukan sahaja menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk, malah turut mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Gaza melaporkan bahawa sehingga Februari lalu, sebanyak 1,109 daripada 1,244 masjid telah dimusnahkan sama ada secara total mahupun sebahagian akibat pengeboman tentera Israel.
Bukan itu sahaja, beberapa gereja serta infrastruktur awam penting lain turut menjadi sasaran, sekaligus memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedang melanda Gaza.
Kemusnahan besar-besaran terhadap tempat ibadat Islam ini dianggap sebagai pencabulan terhadap prinsip kebebasan beragama dan telah mencetuskan kecaman hebat daripada masyarakat antarabangsa.
Beberapa pertubuhan hak asasi manusia dan agensi bantuan antarabangsa turut menggesa supaya kekejaman ini dihentikan dan penyelesaian damai dicapai segera demi keselamatan jutaan penduduk awam yang terperangkap dalam konflik yang berpanjangan.
Dengan angka kematian dan kemusnahan terus meningkat, Gaza kini berdepan cabaran besar bukan sahaja dari segi keselamatan fizikal, malah dalam mengekalkan identiti budaya dan agama yang semakin terhakis akibat serangan yang tiada penghujung.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.