Foto: Instagram
Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) sekali lagi berdepan tindakan provokasi apabila lebih 15 dron dikesan berlegar rendah di ruang udara bot Alma dan beberapa kapal pengiring di Laut Mediterranean, selain lapan letupan udara yang dipercayai bertujuan mengugut pasukan flotilla.
Menurut Laporan Situasi (SITREP) yang dikeluarkan oleh Sumud Nusantara Command Center – MAPIM Central pada jam 6.15 pagi tadi, insiden itu berlaku ketika flotilla berada di perairan zon kelabu Greece, kira-kira 750 batu nautika dari Semenanjung Gaza.
Laporan berkenaan menyebut, dron dipercayai milik rejim berlegar setiap 10 minit bagi tujuan risikan dan intimidasi.
“Berlaku juga lapan letupan udara berhampiran kapal kami serta kapal lain di sekeliling, namun 34 delegasi Malaysia kekal selamat dan berada dalam keadaan bersiap-siaga penuh,” jelas kenyataan itu.
Pihak sekretariat percaya siri gangguan itu adalah percubaan terancang untuk melemahkan semangat pasukan flotilla selain mengumpul maklumat strategik berkaitan pelayaran.
Sehingga kini, lebih 500 sukarelawan daripada 45 negara termasuk 34 delegasi Malaysia menyertai misi GSF dengan menaiki 53 kapal bersama tiga kapal pemerhati.
Mereka sedang menuju ke Semenanjung Gaza bagi menyampaikan bantuan makanan serta keperluan asas kepada penduduk yang terjejas akibat konflik berpanjangan.
Sumber: SITREP
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.