
Foto: Astro Awani
Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran yang tular mencabul kanak-kanak di dalam masjid di Batang Kali, Hulu Selangor baru-baru ini, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Ampang, hari ini.
Memetik laporan Astro Awani, Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, telah membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.
Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 27 Mac ini untuk menjatuhkan hukum bagi menunggu laporan sosial tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mengikut pertuduhan, Adam Haiqal telah didakwa atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun lapan bulan.
Perbuatan tersebut telah dilakukan di Masjid Sungai Masin, Kampung Sungai Masin, Batang Kali pada jam 6.20 pagi, 21 Februari lalu.
Susulan daripada itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan, memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi menunggu laporan sosial daripada JKM memandangkan tertuduh adalah pesalah muda berusia antara 18 sehingga 21 tahun.
"Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 ke atas tertuduh selain mencadangkan dia melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan serta tidak mengacau ganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
"Tempat kejadian juga berdekatan kawasan perumahan di mana mangsa tinggal," katanya.
Sebelum menetapkan tarikh sebutan, Norshila menyoal tertuduh sama ada ahli keluarganya hadir ke mahkamah hari ini bagi membayar jaminan dan tertuduh menjawab tiada.
Susulan itu, Norshila tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Sumber: Astro Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.