Kini apa yang dikatakan di media sosial harus ditapis terlebih dahulu. Jika perkara tersebut tidak pasti, jangan berkongsi kerana ia boleh menimbulkan fitnah. Pergaduhan di media sosial amat rancak berlaku seolah-olah masing-masing sedang mengejar anugerah kemenangan di dalamnya. Walhal, dalam kehidupan ini kita perlu ada sikap toleransi dan kedamaian dari diri ini supaya wujudnya keharmonian dalam masyarakat.
Mafhum: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah An-Nisa, 4:148)
Islam amat menganjurkan umatnya untuk melatih diri dengan bertutur dan menyampaikan perkara yang baik serta memberi manfaat kepada orang sekeliling. Jika sesuatu perkara itu boleh mendatangkan perbalahan, seeloknya selidiki terlebih dahulu dan bertanya dengan baik. Perbuatan terus menghentam atau menuduh dengan hanya melihat kepada bukti daripada sebelah pihak sahaja, itu adalah tidak wajar.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ العَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بالكَلِمَةِ مِن رِضْوانِ اللَّهِ، لا يُلْقِي لها بالًا، يَرْفَعُهُ اللَّهُ بها دَرَجاتٍ، وإنَّ العَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بالكَلِمَةِ مِن سَخَطِ اللَّهِ، لا يُلْقِي لها بالًا، يَهْوِي بها في جَهَنَّمَ.
Maksud: “Sungguh seorang hamba mengucapkan sebuah kalimat yang diredai Allah, suatu kalimat yang dia tidak mempedulikannya (memerhatikannya), namun dengannya Allah mengangkatnya beberapa darjat. Dan sungguh, seorang hamba akan mengucapkan sebuah kalimat yang dimurkai Allah, suatu kalimat yang dia tidak mempedulikannya, namun dengannya Allah melemparkannya ke dalam neraka.” (HR Bukhari, no. 6478)
Jagalah Lisanmu Kerana Ia Sumber Keselamatan
Abu Bakar RA berkata – “Sesungguhnya (lidah) ini boleh menjerumuskan kita ke dalam banyak masalah.” (HR Malik, al-Muwaththa’, 2:988)
Disebabkan itu, ada pelbagai hadis yang ditekankan oleh Baginda SAW mengenai lisan. Jagalah lisan kerana ia adalah salah satu pintu keselamatan, bukan sahaja keselamatan di dunia, bahkan juga akhirat. Menjaga lisan juga termasuk sebagai pohon yang akan membuahkan kebaikan. Jika baik ucapannya, maka baiklah isi bicaranya. Namun, jika pertuturannya berbaur keburukan, maka kemudaratan yang akan muncul.
Hari ini, manusia lebih banyak berinteraksi melalui tulisan, iaitu di media-media digital sebagai penghubung kepada hubungan setiap insan. Dengan itu, ruang fitnah makin mudah untuk terbuka. Kemajuan teknologi sudah tidak membataskan kita untuk melakukan apa sahaja. Justeru, kawallah ia dengan kemampuan anda, dan salah satunya adalah dengan menjaga tutur kata yang ditulis di ruang-ruang ini agar anda mampu menutup lubang-lubang fitnah.
Sumber: tzkrh.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.