Foto sekadar hiasan
Trend penganjuran majlis 'bersiram' atau lebih dikenali sebagai 'bridal shower' yang kembali menjadi ikutan dalam kalangan masyarakat Islam masa kini mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak termasuk golongan pendakwah dan ahli akademik.
Pensyarah Akademik Pengajian Islam dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Ustazah Nadiyah Hashim menzahirkan rasa gusar apabila adat tersebut kini diangkat semula dalam versi moden yang dilihat berisiko mencemarkan kesucian institusi perkahwinan dalam Islam.
Menurut beliau, pernikahan yang seharusnya dimuliakan sebagai satu ibadah kini semakin terhakis nilai sucinya apabila dicampur aduk dengan elemen hiburan dan adat yang tidak selari dengan ajaran agama.
“Dulu memang ada adat bersiram dalam budaya Melayu, namun perlaksanaannya ketika itu lebih bersifat sederhana dan tertutup. Kini, kita lihat ia kembali dalam bentuk yang berbeza, lebih kepada gaya glamor, tular di media sosial dan seringkali melibatkan percampuran budaya luar.
“Perkara ini wajar diberi perhatian serius kerana perkahwinan dalam Islam bukan sekadar adat, ia adalah ibadah yang memiliki peraturan serta batasan yang telah ditetapkan syarak,” katanya.
Aktiviti Melalaikan & Unsur Khurafat Boleh Rosakkan Akidah
Ustazah Nadiyah turut menegaskan bahawa sebarang aktiviti yang dilakukan bagi meraikan bakal pengantin hendaklah tidak bercanggah dengan prinsip Islam. Beliau menolak sekeras-kerasnya sebarang amalan yang boleh menjurus kepada unsur melalaikan, pendedahan aurat atau khurafat.
“Islam tidak menghalang kita daripada meraikan sesuatu detik istimewa, termasuk perkahwinan. Namun, apa-apa aktiviti seperti mandi bunga atau 'bridal shower' mesti diteliti agar tidak menyimpang daripada landasan agama.
“Sekiranya mandi bunga disertai dengan bacaan tertentu, penggunaan bahan seperti bunga tertentu kononnya untuk menaikkan seri pengantin atau dilakukan secara terbuka dengan aurat terdedah, maka ia jelas haram kerana boleh membawa kepada syirik,” tegas beliau.
Menurutnya, unsur-unsur seperti pemujaan bunga, jampi, atau kepercayaan bahawa objek tertentu mempunyai kuasa khusus adalah bercanggah dengan akidah Islam dan wajib ditinggalkan tanpa kompromi.
“Kita perlu kembali kepada kefahaman bahawa segala bentuk pengharapan hanya kepada Allah. Jika ada unsur yang mengaitkan ‘seri’ pengantin dengan kuasa luar selain daripada Allah, itu bukan lagi sekadar adat ia sudah menjadi bentuk kesyirikan,” tambahnya.
Mandi Bunga Bukan Salah Jika Tidak Disertai Unsur Khurafat
Walau bagaimanapun, Ustazah Nadiyah menjelaskan bahawa mandi dengan bunga atau wangian semata-mata bagi tujuan kesegaran dan kebersihan diri bukanlah satu kesalahan dalam Islam, asalkan ia dilakukan secara tertutup dan tidak disertai dengan niat atau amalan khurafat.
“Kalau seseorang mandi bunga untuk menyegarkan badan, mencantikkan diri atau bersiap untuk suami dengan niat yang betul serta tidak dilakukan secara terbuka, maka itu tidak mengapa. Yang penting, niat dan perlaksanaannya tidak melanggar hukum syarak,” jelas beliau lagi.
Seru Kembali Kepada Acara Bermanfaat & Berlandaskan Syariat
Beliau turut menyeru masyarakat Islam agar menggantikan amalan yang tidak bermanfaat ini dengan aktiviti yang lebih mendidik serta mengukuhkan nilai kekeluargaan dan keimanan seperti majlis ilmu, doa selamat atau tazkirah keluarga.
“Kita boleh raikan bakal pengantin dengan cara yang lebih bersih dan penuh keberkatan. Contohnya melalui majlis tazkirah kekeluargaan atau bacaan doa selamat. Ini bukan sahaja memberi manfaat rohani, malah mengeratkan silaturrahim,” katanya.
Media Sosial Pengaruh Gaya Hidup Menyimpang
Tambah beliau lagi, pengaruh budaya luar yang disalurkan melalui media sosial sering kali mengangkat gaya hidup yang tidak berteraskan Islam, sekali gus merosakkan kefahaman umat terhadap erti sebenar ibadah pernikahan.
“Keghairahan meniru budaya barat dan konten tular di media sosial tanpa tapisan hanya akan membuka ruang kepada normalisasi perbuatan yang menyalahi syarak.
“Kita perlu bijak menilai. Jangan kerana mahu kelihatan moden dan mengikut trend, kita sanggup gadaikan prinsip Islam. Itu satu kerugian besar yang akhirnya mengundang kemurkaan Allah,” ujar beliau lagi.
Peranan Ibu Bapa dan Penggiat Industri Perkahwinan
Ustazah Nadiyah turut menyeru agar ibu bapa, bakal pengantin dan penggiat industri perkahwinan memainkan peranan penting dalam membentuk kesedaran masyarakat, khususnya dalam memelihara nilai Islam dalam meraikan perkahwinan.
“Kalau kita yang lebih dewasa ini tidak menunjukkan contoh yang betul kepada generasi muda, siapa lagi yang akan mendidik mereka tentang nilai sebenar dalam Islam?
“Kita bukan anti hiburan, tetapi setiap hiburan mesti ada sempadan. Jangan sampai apa yang sepatutnya jadi ibadah, berubah menjadi perkara yang melalaikan dan mencemarkan agama,” tegas beliau menutup perbualan.
Sumber: Malay Mail