Kalau lihat di media sosial, ramai pasangan akan mengadakan acara mendedahkan jantina atau ‘gender reveal’. Ini bukanlah sesuatu yang asing mahupun baru, lagi-lagi pasangan suami isteri di negeri Barat.
Pelbagai cara istimewa dan unik yang sering sekali dilakukan oleh pasangan suami isteri atau keluarga mereka dalam berkongsi detik istimewa bersama orang tercinta.
Namun, baru-baru ini viral di sosial media akan pasangan suami isteri di Emirah Arab Bersatu (UAE) yang menggunakan pencakar langit ikonik iaitu Burj Khalifa sebagai medium utama untuk mendedahkan jantina bayi kedua mereka.
Pasangan YouTuber popular Dubai, Anas dan Asala Marwah mencetus fenomena apabila menganjurkan sebuah parti secara besar-besaran hanya semata-mata untuk mengumumkan jantina anak mereka.
Acara mendedahkan jantina tersebut dilakukan dengan memancarkan “It’s a Boy”, menggunakan cahaya lampu berwarna biru pada Menara setinggi 828 meter itu. Acara tersebut bukan sahaja mencetuskan perasaan teruja dan gembira dikalangan ahli keluarga dan para tetamu yang hadir, malah ia turut mencuri perhatian masyarakat dunia selepas mendapat lebih 10 juta tontonan di laman YouTube.
Di dalam video berdurasi 15 minit 12 saat itu, Asala memberitahu, acara itu sangat bermakna buatnya berbanding hari perkahwinannya.
“Jantung saya berdegup kencang dan bagaikan ingin keluar dari dada saya. Ia adalah momen yang sangat mengujakan berbanding hari perkahwinan kami.
“Saya sentiasa cuba untuk memberikan kandungan yang tidak pernah diberikan oleh sesiapa di saluran (YouTube) kami,” ujar Asala ketika ditemubual di dalam video berkenaan.
Hanya semata-mata untuk berkongsi jantina zuriat mereka, dia dan suaminya membelanjakan RM394,772 (AS$95,000).
Pasangan berkenaan telah mendirikan rumah tangga pada 2017 dan menimang cahaya mata sulung, Mila setahun kemudian. Majlis berkenaan disifatkan mereka sebagai acara yang sederhana dan hanya dihadiri oleh ahli keluarga serta sahabat rapat.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.