
Foto: Bernama
Malaysia sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi negara pertama di dunia yang diberikan kebenaran oleh Kerajaan Arab Saudi untuk mengedarkan kad Nusuk kepada jemaah haji dalam negara ini sebelum mereka berlepas ke Tanah Suci. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, menyatakan bahawa kebenaran tersebut adalah satu bentuk pengiktirafan terhadap kecekapan sistem pengurusan jemaah haji Malaysia.
"Tahun lepas, kad Nusuk diserahkan di Makkah menjelang Wukuf, namun tahun ini ia diagihkan lebih awal bagi memudahkan pergerakan jemaah.
"Jika kita berjaya menguruskan agihan kad Nusuk dalam negara ini, inisiatif ini akan diperluaskan ke negara Islam lain.
"Ia satu pengiktirafan besar daripada Kerajaan Arab Saudi terhadap kecekapan sistem pengurusan haji negara, hasil hubungan erat dan strategik antara Tabung Haji (TH) dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Unit Proses Visa Haji untuk melihat persiapan pengurusan visa jemaah haji bagi musim ini.

Foto: Bernama
Kad Nusuk ialah kad pengenalan rasmi untuk semua jemaah haji, diperkenalkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Mohd Na'im turut menghargai Kerajaan Arab Saudi atas kecekapan pengeluaran visa dan penambahbaikan sistem kad tersebut.
"Insya-Allah, kejayaan ini menjadi pemangkin kepada usaha TH untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah Malaysia," katanya.
Sementara itu Mohd Na'im berkata proses pengeluaran visa bagi jemaah haji Malaysia musim 1446 Hijrah/2025 Masihi telah mencapai 45 peratus.
"TH juga sudah bersedia sepenuhnya (untuk mengendalikan urusan jemaah haji Malaysia) dengan persiapan hampir 100 peratus. Tahun ini, TH membawa seramai 632 petugas haji yang terdiri daripada petugas kebajikan, perubatan dan wakil agensi luar yang terbabit," katanya.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.