Terkenal dengan keindahan dan kemewahan ragam hiasnya, manuskrip al-Quran dari Terengganu ini berusia hampir 100 hingga 200 tahun.
Manuskrip ini sememangnya dikenali dengan seni halus penghasilannya juga antara tercantik di Asia Tenggara.
Namun ia semakin dimamah usia kerana sudah lama dan dikhuatiri menjejaskan keadaan naskah suci tersebut.
Sehubungan itu, Pusat Islam Sultan Mahmud, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil inisiatif mendigitalkan enam manuskrip al-Quran Terengganu yang disimpan oleh Muzium Negeri Terengganu.
Penggunaan teknologi realiti terimbuh (AR) digunakan mereka sebelum ditempatkan di dalam Galeri Digital Warisan Budaya.
Menurut Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud Dr Riswadi Azmi, masyarakat luar termasuk para pengkaji boleh berkunjung ke galeri digital yang dibangunkan pada Disember 2020 itu.
Ini bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat setiap helaian manuskrip digital al-Quran tersebut dengan lebih dekat dan jelas.
"Proses pendigitalan melalui teknologi AR ini membolehkan setiap perincian manuskrip al-Quran dilihat dengan jelas termasuk warna-warna dan corak hiasannya serta tulisan kaligrafi ayat suci al-Quran yang ditulis dengan sangat cantik," katanya
Tambahnya lagi, setakat ini hanya 27 manuskrip al-Quran Terengganu yang masih wujud dan sebanyak lapan manuskrip disimpan Muzium Negeri Terengganu.
Manakala, tujuh manuskrip disimpan di muzium-muzium lain di Malaysia, lapan lagi manuskrip berada di negara jiran iaitu Indonesia, Singapura dan Thailand, dan baki empat manuskrip kini dimiliki oleh orang perseorangan.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.