Tugas ibu bapa adalah untuk mendidik anak-anak supaya menjadi seorang yang mempunyai akhlak baik. Ada yang melihat pelakuan anak-anak sebagai satu gambaran didikan ibu bapa.
Ada yang cuba menggambarkan seakan merotan ataupun memukul anak merupakan satu tuntutan dalam pendidikan Islam. Kenyataan seperti ini boleh memberikan gambaran yang negatif terhadap ajaran Islam itu sendiri.
Oleh itu ada beberapa perkara yang perlu diketahui mengenai merotan anak-anak.
1. Islam mendidik dengan cara penuh kasih sayang
Asas pendidikan dalam Islam ialah panduan yang jelas, tunjuk ajar yang penuh hikmah (wisdom) dan contoh teladan yang baik. Inilah isyarat Al-Quran dalam Surah Al-Isra ayat 24, ketika mengajar kita berdoa untuk ibubapa dengan doa:
Ertinya, jika diteliti dari arahan doa yang diajar oleh Al-Quran tersebut bahawa pendidikan ataupun membesarkan anak (bringing up process) yang menjadi tanggungjawab ibubapa hendaklah dengan sifat kasihan ataupun rahmah (mercy).
Justeru, hanya ibubapa yang membesarkan anak dalam suasana kasih simpati sahaja yang mendapat bahagian dari doa ini. Allah mengajar doa kepada anak, tapi dalam masa yang sama mengingatkan ibubapa tentang cara mendidik dan membesarkan anak.
2. Merotan sebagai tanda amaran
Adapun hadis tentang memukul anak, hendaklah dilihat dalam kerangka maksudnya yang betul. Di sana juga ada ayat Al-Quran dalam Surah An-Nisa’ ayat 34 yang menyebut tentang memukul isteri.
Apakah selepas ini kita akan mempertahankan perangai sesetengah suami yang suka memukul isteri?! Ayat itu berkaitan isteri yang nusyuz (derhaka) setelah segala proses pendidikan yang baik gagal.
Sementara suami pula seorang yang bertanggungjawab menunaikan segala kewajibannya disudut nafkah zahir dan batin. Merotan haruslah bertempat dan bukan untuk amarah semata-mata.
Pukulan pula dengan cara yang tidak mencederakan dan meninggalkan kesan kesakitan yang serius tetapi sekadar memberikan amaran tentang kesungguhan maksud suami. Hanya dalam suasana sebegitu disamping suami dengan ciri yang begitu sahaja boleh memukul isteri dengan syarat yang disebutkan tadi.
3. Merontan kerana meninggalkan solat
Tiada galakan dalam nas Islam agar kita memukul anak. Bahkan kita tidak wajar memukul anak yang belum mumayyiz (mampu membezakan antara yang baik dan buruk). Hadis hanya menyebut memukul pada umur sepuluh setelah melalui proses yang panjang.
Sabda Nabi SAW: “Suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukul kerana meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun.” (Riwayat sahih Abu Daud)
Ertinya, ketika berusia tujuh tahun saban hari sebanyak lima waktu dia mendengar perintah bapa atau ibunya ‘marilah bersolat’. Maka, selama tiga tahun lamanya dia akan mendengar seruan kepada solat dengan penuh cinta dan manja.
Tanpa kekerasan, tanpa paksaan. Pujukan demi pujukan. Sehingga perintah solat sebati dengannya dan dia memahami maksud solat.
Ibu bapa wajib mendidik anak-anak dengan solat. Biarkan anak bermesra dengan bapanya yang akan membawanya ke tempat solat. Anak akan mempelajari dari pelajaran dan teladan. Tidak dipukul melainkan setelah tiga tahun melalui tempoh ini. Jika dia dipukul pun setelah berusia 10 tahun, dia akan faham itu adalah pukulan kasih dan cinta. Pukulan itu tidak mencederakan atau mendapatkan kesakitan yang serius.
4. Merotan bukan sewenang-wenangnya
Ertinya, betapa untuk sampai kepada tahap memukul memerlukan satu proses yang panjang padahal itu membabit soal asasi dalam hayat seorang muslim iaitu solat. Maka, mana-mana bapa sewenang-wenang memukul anak, dia bukan seorang bapa yang baik dan telah melanggar ajaran agama.
Lebih malang lagi jika bapa itu sendiri bukan teladan yang baik seperti bapa yang merokok memarahi anaknya merokok. Sama juga bapa kurang bertanggungjawab terhadap nafkah dan pendidikan anak, tiba-tiba memukul anak, maka mereka adalah pengkhianat amanah Allah.
5. Merotan bukan faktor utama kejayaan
Kegagalan pendidikan hari ini, tiada kaitan dengan rotan ataupun tidak, tetapi berkaitan dengan faktor penting pendidikan insan itu sendiri iaitu;
- Kejelasan arah dalam pembentukan anak
- Teladan yang baik
- Suasana yang membina
Inilah tiga faktor penting yang telah dimusnahkan oleh pelbagai keadaan. Mereka yang cuba mengaitkan merotan anak sebagai kejayaan pendidikan Islam adalah satu kedangkalan yang nyata.
Jika ada ibubapa yang memukul anak tanpa alasan yang benar, dalam keadaan yang tidak munasabah dan mendatangkan kecederaan yang kekal ataupun kesakitan yang serius. Maka itu bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh dianggap sebagai satu jenayah.
Sumber: tzkrh.com