
Foto: Instagram
Pelakon terkenal, Noorkhiriah, meluahkan rasa syukur yang mendalam apabila diberikan peluang untuk merasai pengalaman memasuki liang lahad dalam salah satu babak drama terbarunya, Seribu Tahun.
Menurutnya, pengalaman tersebut merupakan hadiah besar daripada Allah SWT yang memberikan kesan mendalam dalam kehidupannya.
Dalam babak tersebut, Noorkhiriah memegang watak sebagai Nor, seorang wanita lembam yang meninggal dunia akibat lemas ketika mencari akar bunga teratai di tasik
Menariknya, inisiatif untuk melakonkan babak masuk ke liang lahad datang daripada dirinya sendiri, bukan atas arahan pengarah, Shahrulezad.
Beliau menyatakan bahawa sebaik sahaja tiba di lokasi penggambaran di tanah perkuburan, perasaannya menjadi gemuruh dan emosinya tidak dapat dikawal, menyebabkan air mata mengalir tanpa henti.
“Saat-saat memasukkan diri ke liang lahad dan saya yang minta daripada Shahrulezad. Gemuruh dan ‘blur’. Sampai sahaja di kubur, saya ‘stuck’ dan air mata tidak berhenti mengalir,” katanya menerusi Instagram.
Noorkhiriah turut berkongsi bahawa dua hari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-47, suaminya, Azfaizul Ahtan, menghadiahkannya sehelai kain kapan yang diikat dengan reben merah. Hadiah tersebut diterima dengan hati terbuka dan dianggap sebagai peringatan tentang kematian dan keinsafan diri.
“Terima kasih Allah atas hadiah yang cukup besar dan izinkan saya masuk ke liang lahad. Dua hari sebelum hari jadi saya, suami hadiahkan kain kapan. Dosa banyak sampaikan Allah beri nikmat ini. Momen ini sangat mahal,” tambahnya.
Beliau juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada pengarah Shahrulezad atas bimbingan dan peluang yang diberikan untuk melakonkan babak yang begitu menyentuh hati itu. Noorkhiriah menyatakan bahawa setiap usaha dan ketekunan pengarah dalam menjayakan drama tersebut akan sentiasa dikenang dan diharapkan menjadi saham pahala di akhirat kelak.
“Buat Shahrulezad, mata saya menjadi saksi betapa sukarnya abang demi drama Seribu Tahun. Terima kasih dan akan simpan rapi dalam hati. Semoga setiap ketukan abang menjadi saham pahala. Di mulut abang juga tidak lekang mengatakan semua ini dilakukan kerana Allah,” ujarnya.
Noorkhiriah menutup perkongsiannya dengan menyeru kepada semua agar tidak meninggalkan solat walaupun merasa diri penuh dengan dosa, sebagai tanda kasih sayang terhadap diri sendiri.
“Ya Allah, satu sahaja pesan saya, jangan tinggalkan solat waima kita ini jahat sekali pun sekiranya ada rasa sayang dengan diri sendiri,” katanya.
Pengalaman mendalam yang dilalui oleh Noorkhiriah ini bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya, tetapi juga kepada penonton yang menyaksikan babak tersebut dalam drama Seribu Tahun, yang kini menjadi perbualan hangat di kalangan peminat drama tempatan.
Sumber: HibGlam
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.