Foto: Tangkapan skrin layar TikTok
Sebuah panggung wayang di Kuala Terengganu, Lotus Five Star (LFS), telah menarik perhatian ramai selepas mengamalkan sistem pengasingan tempat duduk mengikut jantina.
Dalam rakaman video yang tular di TikTok, seorang wanita dikenali sebagai Ieda berkongsi pengalamannya membeli tiket untuk tayangan filem Final Destination. Di kiosk tiket, dia mendapati tempat duduk diasingkan dengan lelaki di sebelah kiri dan wanita di sebelah kanan. Selain itu, terdapat juga kategori tempat duduk untuk keluarga.
Menurut Ieda, staf panggung wayang akan sesekali memeriksa kad nikah pasangan yang memilih tempat duduk keluarga untuk memastikan mereka adalah suami isteri yang sah.
Tulis Ieda, "Selagi boleh jaga kita jaga," sebagai tanda sokongan terhadap usaha menjaga batas pergaulan antara jantina.
Inisiatif ini bukanlah perkara baru. Sejak tahun 2020, pengasingan tempat duduk mengikut jantina telah dilaksanakan di LFS Kuala Terengganu mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.
Malah, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) turut menguatkuasakan peraturan ini, yang bukan sahaja tertakluk kepada golongan Muslim, malah orang bukan beragama Islam juga tidak terkecuali.
Langkah ini mendapat sokongan ramai. Di ruangan komen, netizen memuji inisiatif tersebut kerana ia membantu menjaga ikhtilat dan memberi keselesaan kepada penonton.
Seorang pengguna TikTok menyatakan, "Bagus juga kalau pergi tengok solo. Tak payah duduk sebelah jantina lain. Harap benda ni ada dekat negeri lain juga. Sekurang-kurangnya tahu jantina orang sebelah."
Selain itu, inisiatif serupa turut diperkenalkan di Aeon Mall Kota Bharu, Kelantan, di mana kaunter pembayaran diasingkan mengikut jantina dan kategori keluarga. Pekerja yang menjaga kaunter juga mengikut jantina yang ditetapkan, memberi pengalaman yang lebih selesa kepada pelanggan.
Langkah-langkah seperti ini menunjukkan usaha untuk menjaga batas pergaulan dan memberi keselesaan kepada masyarakat. Diharapkan lebih banyak tempat awam akan mengamalkan inisiatif serupa demi kebaikan bersama.
Sumber: TikTok
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.