
Foto sekadar hiasan
Lebih 100,000 pelajar mendaftar di sekolah-sekolah di seluruh Semenanjung Gaza sejak permulaan tahun akademik baharu pada 23 Februari.
Perkara itu dilaporkan oleh Anadolu Ajansi (AA) yang memetik kenyataan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.
"Sehingga semalam, lebih 100,000 pelajar mendaftar di sekolah selepas tahun akademik baharu bermula pada 23 Feb," kata jurucakap PBB Stephane Dujarric dalam satu sidang media.
Beliau menjelaskan bahawa sehingga kini, sebanyak 165 sekolah awam dibuka semula di Gaza.
"Bagi kebanyakan pelajar, ini kali pertama mereka kembali mengikuti pembelajaran secara bersemuka dalam tempoh 16 bulan," katanya.
Dalam pada itu, menurut angka rasmi Palestin, 85 peratus sekolah di Gaza tidak lagi beroperasi akibat serangan udara Israel.
Namun begitu, Pejabat Media Gaza melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 12,800 pelajar serta 800 guru dan kakitangan pentadbiran terbunuh sejak perang tercetus pada Oktober 2023.
Bagaimanapun, sebanyak 1,166 institusi pendidikan turut musnah, dengan kerugian dianggarkan melebihi AS$2 bilion dan untuk makluman, konflik itu meragut lebih 48,300 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Sumber: Anadolu Ajansi (AA)
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.