Inisiatif menghasilkan sejadah Anti-Korona (Sajana) dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di masjid dan surau dilakukan sekumpulan pelajar di Sekolah Menengah Pertama (SMP) Muhammadiyah 5 Pucang di Surabaya, Indonesia.
Bahan plastik dan perlak (bahan seakan tikar getah) digunakan untuk membuat sejadah ini dan ia cukup mudah dibersihkan dengan cecair anti bakteria sekiranya tercemar dengan virus atau pun bakteria.
Menariknya, warna pada sejadah ini tidak akan tertanggal biarpun dicuci menggunakan cecair anti bakteria berulang kali kerana ia menggunakan cat khas.
Penghasilan sejadah ini bertujuan untuk memudahkan umat Islam agar dapat beribadah meskipun dunia masih diselubungi pandemik Covid-19.
Tampil dengan pelbagai rekaan dan warna sebagai penarik dengan ukuran 60 X 120 cm, sejadah itu turut tertera tulisan 'Sesudah Solat, Sila Bersihkan' selain peringatan 'Sila Pakai Masker, Cuci Tangan Dengan Sabun dan Jaga Jarak Sosial'.
"Penghasilan sejadah ini diharap dapat memberi kebaikan kepada umat Islam dalam menjalankan ibadah serta membuka ruang ekonomi dalam kalangan pelajar dalam situasi sukar ketika ini.
"Idea ini 100 peratus daripada pelajar yang bukan sahaja terkesan oleh pandemik tetapi mahu mencari jalan keluar kepada beberapa permasalahan yang berlaku khususnya dalam soal ibadat umat Islam.
"Saya rasa usaha ini satu permulaan yang baik dan ideanya juga menarik dalam kita berjaga-jaga terutamanya ketika solat di surau atau masjid," kata guru yang membimbing dan mengetuai projek itu, Wardatul Ummah.
Kini, sejadah itu mendapat perhatian di Indonesia dan dijangka akan dikeluarkan dalam kuantiti yang banyak untuk kegunaan Ramadan dan Aidilfitri ini.
Sumber: Kompas TV
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.