Salah satu anggota badan yang perlu jaga kebersihannya ialah kuku. Kalau kuku disimpan panjang akan kotor dengan lebih cepat dan akan lebih menyukarkan apabila ingin mengambil air wuduk. Bimbang jika nanti wuduknya tidak sah dan boleh mengakibatkan solat juga tidak diterima.
Bukan itu sahaja, kuku yang kotor juga boleh memberi kesan kepada apa yang dimakan. Perkara inilah yang boleh mengakibatkan pelbagai penyakit dari perut berpunca dari kelalaian kita dalam menjaga kebersihan.
Sebab itu kita digalakkan untuk memotong kuku bagi menjaga kebersihan. Afdal dipotong kuku pada hari Jumaat, namun itu bukanlah bermaksud amalan ini tertumpu pada hari Jumaat sahaja. Dalam hal ini, tidak perlu tunggu pada hari Jumaat untuk memotong kuku. Jika ia sudah panjang, boleh terus dipotong.
Anjuran memotong kuku ini juga dilihat pada kebanyakan dalil menjaga kebersihan. Sehinggakan ada beberapa hadis yang menyebut akan kelebihan memotong kuku pada hari-hari tertentu, iaitu;
Maksud: “Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Sabtu, maka akan keluar daripadanya penyakit dan masuk ke dalamnya penawar. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Ahad, maka akan keluar daripadanya kemiskinan dan masuk ke dalamnya kekayaan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Isnin, maka akan keluar daripadanya kecacatan dan masuk ke dalamnya kesihatan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Selasa, maka akan keluar daripadanya penyakit sopak dan akan masuk ke dalamnya kesembuhan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Rabu akan keluar daripadanya penyakit was was dan ketakutan dan masuk ke dalamnya keamanan dan kesihatan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Khamis, akan keluar daripadanya penyakit kusta dan akan masuk ke dalamnya kesembuhan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat, maka akan masuk ke dalamnya rahmat dan keluar daripadanya dosa-dosa.”
Walau bagaimanapun, jumhur berpandangan bahawa hadis ini adalah palsu kerana ganjarannya yang berlebih-lebih dan juga melihat kepada jalurnya yang tidak thiqah (tidak teguh).
Hal ini dilihat daripada Imam Ibn Jauzi, Imam al-Sayukani dan al-Albani. Jumhur ulama lain juga bersetuju akan kepalsuannya. Justeru, dapat difahami di sini bahawa ia adalah palsu dan tidak boleh digunakan untuk menyebarkannya melainkan untuk menyatakan ketidaksahihannya.
Sumber: Mufti Wilayah
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.