Tular baru-baru ini apabila ruang solat masjid menjadi pusat suntikan vaksin dan perkara itu dibangkitkan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Beliau menegaskan pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) di mana-mana masjid, mesti mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Kebangsaan.
“Antara SOP yang ditetapkan ialah tidak boleh menjadikan ruangan solat di dalam masjid sebagai tempat suntikan. PPV masjid hanya boleh dibuka sekiranya kemudahan di masjid tersebut bersesuaian. Gunakan kemudahan yang ada seperti bilik kuliah, perpustakaan dan klinik masjid.
“Jika masjid yang mahu digunakan tidak mempunyai kelengkapan yang sesuai, ia sepatutnya tidak boleh dibenarkan beroperasi,” katanya.
Tambahnya, isu ini menjadi perhatian setelah ada negeri yang telah memulakan program ‘outreach’ di masjid tanpa mengikut SOP ditetapkan.
“Lalu tersebar gambar ruang solat digunakan untuk tempat suntikan. Malah ada masjid yang gunakan ia sebagai ruang menunggu, dengan disusun kerusi.
“Sebaik menerima maklumat ini, saya telah menghubungi Exco Kesihatan negeri berkenaan, memaklumkan supaya diambil langkah pembaikan untuk mengelakkan gambaran negatif, yang merosakkan usaha murni ini,” katanya.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.